Bung Moktar Radin dikatakan antara pemimpin yang dikaitkan dengan usaha menyingkir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Kabinet Sabah dilaporkan bakal dirombak susulan cubaan 'rampasan kuasa' yang didakwa didalangi oleh Parti Warisan (Warisan) dan sebahagian pimpinan Barisan Nasional (BN) Sabah gagal pada Khamis.
Menurut sumber dalaman, rombakan itu dijangka menyaksikan beberapa ahli kabinet BN digugurkan daripada jawatan dan digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Nama-nama yang turut disebut akan digugurkan antaranya Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Menteri Pelancongan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Jafry Ariffin.
"Kemungkinan besar mereka (Bung dan Jafry) akan digugurkan. Bukan semua daripada BN akan digugurkan. Ketua Menteri hanya mahu pastikan kerajaan negeri terus berfungsi dengan baik", sumber berkata.
Pada masa sama, Hajiji turut dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi membincangkan mengenai rombakan tersebut pada hari ini.
Sementara itu, sebahagian besar pemimpin di Sabah terus berdiam dan enggan memberikan sebarang komen mengenai spekulasi kerjasama BN dan Warisan untuk menggantikan Kerajaan Negeri yang sedang diterajui Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Terdahulu, pertemuan pimpinan UMNO Sabah di pejabat parti itu pada Khamis didakwa bagi membincangkan perkembangan kerjasama dengan Warisan.
Namun, Bung menafikan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa ianya sekadar pertemuan biasa di kalangan pimpinan parti.
Pada masa sama juga, sidang media Warisan yang dijadualkan pada jam 4.30 petang di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu pada hari yang sama juga turut dibatalkan.
Namun, Shafie ketika dihubungi Astro AWANI enggan mengulas mengenai pembatalan sidang media itu. Astro AWANI akan memantau perkembangan politik Sabah ini dari masa ke semasa.
No comments
Post a Comment