Peristiwa naiknya kerajaan ini cukup kontroversi namun demikian biarlah ia kekal dalam lipatan sejarah sehingga dibongkar kembali satu hari nanti.
Buat PAS yang penting walaupun haknya melalui PN untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan ternafi, PAS sesungguhnya mencatatkan beberapa pencapaian besar yang pasti akan ia usung dan lonjakkan lagi sepanjang 2023 bagi merintis jalan membuka laluan buat kemenangan yang lebih bermakna.
PAS melangkah gagah tahun 2023 dengan rekod 43 Ahli Parlimen, di samping menguasai Kerajaan Negeri Perlis selain Kedah, Terengganu dan Kelantan. Ia hampir menguasai Pahang dan Perak, sekali lagi ternafi lantaran perkembangan di luar kawalan.
PAS melalui PERIKATAN NASIONAL berjaya memperolehi 56 peratus sokongan pengundi Melayu Islam atau Bumiputera seluruh negara sekali gus menggantikan Umno sebagai wakil sebenar suara umat Melayu Islam dalam negara.
‘Green wave‘ atau Gelombang Hijau yang membawa kemenangan besar buat PAS dan PN dikaitkan dengan kebangkitan undi Melayu Islam, iaitu blok kaum terbesar dalam negara, yang ternyata bangkit menuntut mahukan kualiti kepimpinan Melayu Islam yang lebih tinggi dan boleh memperjuang serta menjamin nasib dan masa depan mereka.
Mereka sedar dan insaf bahawa kuasa politik umat Melayu Islam mestilah disatukan, tidak lagi berpecah sehingga akhirnya menjadi lemah dan terpaksa tunduk pada tekanan puak lain. Mereka dambakan Penyatuan Ummah yang mengembalikan maruah dan harga diri umat Melayu, tidak lagi dikaitkan dengan kepincangan dan ketempangan kepimpinan yang hanya membawa aib buat semua dan dijadikan bahan senda gurau rakyat dan dunia luar.
Ternyata PN yang didominasi PAS menjadi pilihan mereka sehingga meletus Gelombang Hijau tadi membadai seluruh negara.
2023 pasti akan menyaksikan pencapaian lebih besar mereka yang bersama Gelombang Hijau ini, tambahan nanti akan ada Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 untuk enam buah negeri iaitu untuk Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Kerajaan Campuran PH-BN ini bukan pilihan umat Melayu Islam. Dan Kerajaan Perdana Menteri ke-10 yang memuatkan campuran parti-parti yang sebelum ini musuh tegar dijangka akan terus porak-peranda dan lebih tertumpu pada isu-isu dalaman yang meruncing.
Justeru Gelombang Hijau tadi diyakini akan memastikan Kedah, Kelantan dan Terengganu terus kekal malah dengan lebih kukuh lagi, manakala Selangor dan Negeri Sembilan akan cuba dirampas dari PH.
Kerusi-kerusi majoriti Melayu Islam di Pulau Pinang dijangka akan dikuasai PN menjadikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di tahun 2023 nanti cukup tercabar.
Rugilah jika parti kita parti Melayu Islam, yang berjuang untuk memartabatkan Kebangsaan Melayu dan agama Islam, tiba-tiba kita memilih untuk melawan arus, enggan meluncur bersama gelombang besar ummah ini.
Kiranya menurut rekod, Umno telah membuat pilihan itu. Dalam PRU Parlimen ke-15 Umno memilih untuk ‘go solo‘ menentang PH dan PN dengan sangkaan mereka akan mampu bangkit kembali dan menguasai Putrajaya setelah menang bergaya dalam PRN Melaka dan Johor.
Terbukti keputusan pimpinannya itu banyak melukakan hati ahli-ahli akar umbinya yang lebih yakin dan percaya untuk bersama politik Penyatuan Ummah bukannya politik pecah-belah.
Ahli-ahli dan sebahagian pimpinan Umno sendiri sudah selesa menjalin hubungan dengan PAS, tetapi atas kemahuan pimpinan mereka terpaksa melepaskan genggaman tangan persahabatan bersama PAS.
PRU15 itu menyaksikan bahawa bacaan politik pimpinan Umno itu silap dan tersasar sehingga akhirnya Umno cuma mampu bertahan di 26 kerusi, pencapaian terburuknya dalam sejarah sejak Merdeka. Mereka juga hilang sokongan pengundi Melayu Islam yang selama ini berdekad-dekad di belakang mereka.
Lebih memilukan apabila dengan hanya 26 kerusi itu pimpinan tertinggi yang sama menyeret pula Umno untuk bergabung dan memberi nyawa pada PH sehingga naik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
Walau dalam PH itu ada DAP, Anwar akan jadi Perdana Menteri, unsur-unsur yang diikrarkan akan ditolak Umno sebelum ini, tetapi sekali lagi ahli-ahli dan pimpinan dipaksa menerima dengan berat hati.
Malang agenda peribadi pimpinan tertingginya lebih penting dari perjuangan sebenar Umno. Umno sudah bukan macam Umno dahulu lagi.
2023 dijangka akan menyaksikan ahli dan penyokong Umno termasuk sebahagian pimpinannya akan bertindak lebih rasional dan berkemungkinan kembali bersama menegakkan panji-panji politik Penyatuan Ummah, jalan perjuangan sebenar yang sepatutnya didukung Umno.
Jika terpaksa meninggalkan pimpinan tertingginya sekalipun, 2023 bakal menyaksikan perubahan besar berlaku dalam Umno. Jika tidak Umno akan hanyut, dihanyutkan oleh PH yang didominasi DAP yang menunggu-nunggu untuk melihat Umno roboh dan pupus, manakala PKR pula tidak sabar mentalqinkan Umno.
Gelombang Hijau yang melonjak dan membawa arus perubahan ini bukannya gelombang yang ditaja sesiapa atau gelombang yang dibuat-buat. Ia cetusan hati nurani dibina atas semangat kesungguhan dan keikhlasan umat Melayu Islam yang mahukan perubahan demi agama dan bangsa.
Ia ‘real‘ dan sepatutnya pasca PRU15 Parlimen baru-baru ini telah membuka mata semua pihak khasnya Umno, malang Umno terus tidak pandang serius walaupun Umno telah dilemahkan selemah-lemahnya oleh Gelombang Hijau ini.
2023 sebagaimana dinyatakan akan melihat 6 Pilihan Raya Negeri, dengan realiti semasa Umno agak sukar bangkit kembali di Kedah, Kelantan dan Terengganu setelah kalah di semua kerusi Parlimen di tiga-tiga buah negeri berkenaan.
Calon-calon Umno juga semua kecundang di Selangor dan Pulau Pinang, bagaimanakah agaknya nasib mereka dalam Pilihan Raya Negeri pula nanti?
Apakah tsunami ‘Gelombang Hijau’ ini akan terus bermaharajalela sepanjang 2023 nanti?
Selagi PH terus didominasi DAP, selagi Umno terus mengecewakan ahli-ahlinya dengan bersekongkol bersama Anwar dan DAP, tsunami ini tidak akan kendur atau lemah malah sebaliknya akan semakin bertenaga, menggunung tinggi membawa harapan umat Melayu Islam merubah landskap politik negara melalui Pilihan Raya di keenam-enam negeri nanti.
2023 menjanjikan masa depan yang cerah buat politik Penyatuan Ummah, semoga ramai lagi akan berani dan bersama PN meluncur ke destinasi yang ditunggu-tunggu rakyat.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
No comments
Post a Comment