Premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah bermula 1 Jan lalu susulan keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen perniagaan itu. |
PETALING JAYA: Polis Kedah sedia dengan kemungkinan peningkatan judi dalam talian tidak berlesen selepas kerajaan negeri menutup premis perjudian dan loteri.
Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata pihaknya sudah mempunyai rancangan untuk membendung judi dalam talian di negeri ditadbir PAS itu.
“Malah, saya sudah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pegawai saya mengenai persediaan untuk memerangi operator judi tanpa lesen tahun ini,” katanya kepada FMT.
Wan Hassan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan untuk mempergiatkan operasi dalam masa terdekat.
Premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah bermula 1 Jan lalu susulan keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen perniagaan itu.
Pentadbiran Menteri Besar Sanusi Nor pada 14 Nov 2021 mengumumkan pengharaman premis nombor ramalan dan judi di seluruh Kedah dengan mengarahkan pihak berkuasa tempatan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka.
Kerajaan Kedah kemudian mengumumkan lesen untuk premis seperti itu tidak akan diperbaharui lagi selepas 31 Dis 2021.
Seorang pakar jenayah, P Sundramoorthy memberi amaran pengendali premis perjudian tanpa lesen akan mengambil kesempatan susulan keputusan kerajaan Kedah tidak memperbaharui lesen judi dan loteri di negeri itu.
Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia berkata, “bookie” haram ini sukar untuk dikesan.
“Bookie ini akan lebih tersusun dan mengendalikan platform serupa seperti kasino dalam talian yang sah, selain sukar dikesan mahupun dihapuskan,” katanya.
Dalam usaha menangani aktiviti perjudian tanpa lesen, Wan Hassan berkata, polis Kedah membuat 1,856 serbuan tahun lalu, daripada jumlah itu 1,075 premis dikesan terlibat dalam aktiviti judi dalam talian.
Daripada serbuan itu, seramai 540 individu dihadapkan ke mahkamah manakala 319 suspek lagi masih disiasat. Sejumlah RM146,663 wang tunai juga dirampas.
Untuk aktiviti loteri haram katanya, polis menyerbu 782 premis dan merampas RM87,710 wang tunai. Seramai 567 individu didakwa manakala 142 lagi disiasat berkaitan aktiviti itu.
Wan Hassan turut menggesa orang ramai tidak terlibat dengan aktiviti judi dalam talian dan memberi amaran, polis akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang didapati melanggar undang-undang.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment