NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN, BN ada perjanjian berhubung pelantikan Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU:  Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mencetuskan kemelut politik di Sabah seperti yang berlaku ketika ini, susulan perjanjian mengenai pelantikan Ketua Menteri dan portfolio dalam Kabinet negeri yang dimeterai sebelum ini.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata perjanjian itu dibuat dengan PN selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.

Katanya, perjanjian itu berkaitan pelantikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan semua portfolio dalam Kabinet negeri antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN dan BN.

"Apabila Hajiji dilantik sebagai Ketua Menteri, ada perjanjian di antara BN dan PN ketika itu. Hajiji dipilih dengan sokongan BERSATU dan semua menyokong.

"Beberapa portfolio juga diberi kepada BN," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan khas bersama BERSATU Sabah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung BERSATU berkata, berikutan perjanjian itu, kemelut politik di Sabah sekarang tidak sepatutnya berlaku.

"Apa yang berlaku sekarang, rakyat harus tahu. Ia tidak patut berlaku sebab sudah ada perjanjian. UMNO tidak harus buat ini demi kepentingan rakyat," katanya.

Hamzah berkata, UMNO dan BN tidak seharusnya campur tangan dalam isu Hajiji dengan BERSATU yang timbul ketika ini.

Beliau merujuk tindakan Hajiji yang mengumumkan keluar BERSATU bersama semua ADUN mewakili parti itu sebelum ini.

"Jangan campur isu Hajiji dengan BERSATU. Itu isu adik-beradik, jiran-jiran tak perlu campur," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui ada perjanjian dengan PN, namun mendakwa perjanjian itu terbatal selepas Hajiji keluar BERSATU.

Berikutan situasi itu, Bung Moktar mendakwa Hajiji kini tidak berparti dan atas sebab itu hilang 'locus standi' atau hak perlembagaan sebagai Ketua Menteri.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo