KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyerahkan cadangan kepada Kementerian Kewangan, untuk memperkasakan pengurusan bencana menerusi peruntukan sebanyak RM26.35 juta, bagi memperoleh aset kritikal untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penyelamatan.
Menterinya Nga Kor Ming berkata antara aset-aset yang dicadang untuk dibeli termasuklah Inflatable Boat, kenderaan serba rupa bumi, khemah modular tentera, beg tidur, Tactical Hydration Backpack, suit tahan kebakaran, lampu LED berbateri, serta menaik taraf bilik siap-siaga di 150 buah Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara.
"Peruntukan ini juga akan digunakan untuk mengukuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi menyampaikan perkhidmatan kebombaan kepada masyarakat setempat. Dengan bajet ini, saya yakin ia dapat meningkatkan lagi kecekapan wira-wira merah kita ketika bertugas di lapangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan dan Kempen Keselamatan Sempena Tahun Baru Cina 2023 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Pavilion Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Untuk perayaan Tahun Baharu Cina ini, katanya JBPM akan melakukan rondaan berkala di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas atau hot spot bagi kes kebakaran dan kes lemas, terutama di kawasan-kawasan riadah.
Beliau berkata semua aset dan logistik seperti jentera dan peralatan kebombaan di balai-balai bomba dan penyelamat seluruh negara, juga diletakkan dalam keadaan bersedia untuk menerima sebarang panggilan kecemasan.
Sementara itu, Nga berkata sepanjang tahun 2022, JBPM telah menerima sebanyak 26,561 panggilan kebakaran melibatkan kerugian berjumlah RM1.32 bilion.
"Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 9,341 (26 peratus) berbanding 35,902 panggilan kebakaran yang direkodkan pada tahun tahun sebelumnya. Penurunan kes ini merupakan petunjuk positif tentang kesedaran masyarakat terhadap keselamatan dan pencegahan kebakaran," katanya.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment