NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pensyarah rugi duit RM1.3 juta diperdaya ‘Inspektor Ku’

JOHOR BAHRU – Seorang pensyarah wanita institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengalami kerugian RM1.3 juta akibat terpedaya dengan individu menyamar sebagai ‘Inspektor Ku’ selepas dikatakan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah.

Mangsa berusia 41 tahun itu diperdaya ‘pegawai polis’ terbabit yang menawarkan untuk membantu mangsa dengan mengarahkannya membuka akaun bank baharu bagi menyelesaikan kes tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita itu tampil membuat laporan polis pada semalam selepas menyemak akaun banknya pada awal bulan ini dan mendapati semua wang dari akaun tersebut sudah dipindahkan.

“Kes bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang memperkenalkan diri dari Kementerian Kesihatan (KKM) mendakwa mangsa terlibat dalam pemalsuan laporan Covid-19 di Sabah.

“Setelah mangsa menafikan dakwaan itu, panggilan telefon terus disambungkan kepada individu yang kononnya adalah pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bernama Inspektor Ku.

“Inspektor Ku kemudiannya memberitahu dia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, mangsa turut diarahkan untuk menyerahkan kata laluan perbankan atas talian akaun tersebut selain mendaftarkan nombor telefon yang diberikan lelaki tersebut.

Beliau berkata, setelah membuka akaun bank baharu itu, mangsa telah mengikut arahan Inspektor Ku untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun tersebut kononnya untuk simpanan selamat sementara sehingga kes selesai.

“Antara 17 Oktober hingga 25 November tahun lalu, mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM1.3 juta ke akaun baharu itu.

“Mangsa sedar ditipu apabila wang dalam akaun miliknya terdapat transaksi pemindahan ke beberapa akaun lain yang tidak dikenali sebelum membuat laporan polis,” jelasnya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, terdapat satu lagi kes penipuan dengan seorang lelaki berusia 49 tahun yang kerugian lebih RM85,000 setelah terjerat sindiket jualan terus di atas talian di daerah ini baru-baru ini.

“Mangsa ditipu oleh syarikat berkenaan yang menjanjikan keuntungan mudah mengikut pelaburan yang dilakukan. Mangsa pada awalnya melabur sejumlah RM800 dan mendapat pulangan sebanyak RM2,100.

“Terpesona dengan keuntungan mudah itu, mangsa seterusnya melabur sebanyak RM85,000. Namun, pulangan yang diharapkan tidak muncul dan menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo