NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penemuan aliran bau punca LRA Semenyih, Bukit Tampoi dihenti tugas

(Gambar fail) Tumpahan cecair akibat kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di KM44.1 Lebuh Raya Elite arah utara, baru-baru ini. - Foto ihsan LUAS


SHAH ALAM: Penemuan aliran bau yang berpunca dari lokasi kemalangan membabitkan tumpahan pati minyak wangi pada 24 Disember lalu, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, berkata kedua-dua LRA itu dihenti tugas antara empat hingga enam jam bermula jam 7 malam, sebagai langkah kawalan pencegahan berikutan penemuan aliran pencemaran bau di Sungai Semenyih.

"Penemuan kesan bau hingga mencatat bacaan enam ton itu berlaku selepas hujan lebat, petang semalam. Ia susulan aliran sisa yang tersangkut serta terserap di sekitar kawasan tumpahan tempoh hari dan di jajaran sungai di luar kawasan Selangor.

"Hasil penelitian Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kesan tumpahan pati minyak wangi sebelum ini berkemungkinan telah meresap ke dalam persekitaran lokasi dan akan terlarut semula dengan aliran air, terutama selepas hujan.

"Aliran sisa terlarut bersama air larian hujan ini seterusnya mengalir masuk ke Sungai Semenyih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan pengesanan awal pencemaran berulang oleh LUAS kira-kira jam 6.30 petang semalam, beliau berkata, tindakan pencegahan awal serta pantas oleh agensi kerajaan negeri berjaya dilakukan, dan impak terhadap operasi loji dapat diminimumkan.

Katanya, antara usaha dilakukan ialah meningkatkan langkah nyahbau dengan penambahan karbon aktif (AC) oleh LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membabitkan kira-kira 24 beg yang keseluruhannya dianggarkan satu tan.

"Pihak Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) sedang melaksanakan kerja penyedutan sisa baki aliran yang tercemar di lokasi. Agensi kerajaan negeri juga berterusan melakukan pemerhatian dan tindakan untuk mengesan tumpahan di lokasi terbabit," katanya.

Media semalam melaporkan LRA Sungai Semenyih ditutup pada jam 7 malam susulan insiden pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Sebelum ini, kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer (KM) 44.1 Lebuh Raya Elite arah utara berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan, menjadi punca LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas pada 24 Disember lalu. – BERNAMA



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo