NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS tetap ‘disusahkan’ dan jadi sasaran walau kuasa terbatas


BANGI, 16 Jamadilakhir 1444H, Isnin – PAS tidak hairan mendapat tentangan daripada DAP dan parti lain – yang nyata ideologinya menentang Islam walaupun kini bertukar nada kepada tidak bersuara secara terang-terangan.

Hal itu disebabkan mereka sudah berjaya membentuk pasukan baharu, dalam kalangan rakan-rakan berwajah Islam yang berwalikannya, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau mendakwa, mereka itu laksana kayu bersama mata kapak bagi menebang pokok besar, mengambil pendekatan menipu dengan segala cara, seperti melaksanakan amar makruf secara terpilih dan menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata.

“Bahkan, secara nyata mereka juga bergabung dengan semua kumpulan liberal dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan media, tanpa batas akhlak dan halal haram.

“Semuanya demi mencukupkan jumlah sokongan yang dapat menghalang pengaruh Islam dalam kerajaan.

“…walaupun mereka berlindung sementara waktu sebalik Islam dalam Perlembagaan mengikut tafsiran yang salah oleh mereka yang buta al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi berkata, gabungan berkenaan turut disertai kluster mahkamah dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan kerana kes rasuah yang berskala besar serta termasuk kesalahan-kesalahan lain yang bersedia dengan umpan untuk diselamatkan.

Selain itu, beliau mendakwa negeri pimpinan parti itu tetap disusahkan dengan berbagai-bagai cara, halangan dan penentangannya yang nyata dan tersembunyi meskipun PAS mentadbir negeri dengan kuasa yang sangat terbatas.

“Sekalipun tindakan yang diambil itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi yang diamalkan di negara Barat sendiri yang menjadi rujukan mereka,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, tidak menghairankan apabila berlaku penubuhan kerajaan di luar tabii demokrasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun PAS berjaya mendapat jumlah kerusi terbesar.

Katanya, PAS sudah berusaha bersama dalam PN yang disertai pelbagai parti yang tidak ekstrem untuk menubuhkan kerajaan campuran mengikut prosesnya tanpa PAS menjadi pemimpin utama.


- Ismaweb 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo