Lebih meruntun jiwa apabila pernikahan itu dilaporkan berlangsung di Thailand setelah tuan empunya diri membuat pengakuan.
Pelbagai persoalan timbul di benak fikiran terutama mengenai sebab utama pasangan memilih berpoligami secara sorok-sorok di Thailand tanpa pengetahuan isteri pertama dan keluarga.
Peguambela, Peguamcara dan Peguam Syarie di Tetuan Muneer Farid & Co., Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz berkata, terdapat banyak faktor menyebabkan pasangan tempatan memilih melangsungkan pernikahan di Thailand.
Menurutnya, selain salah seorang pasangan itu bukan warga tempatan, faktor halangan keluarga juga menjadi punca pasangan terbabit mencari jalan mudah untuk mengikat hubungan suami isteri.
“Ketiga, mungkin ada antara mereka menganggap dan nampak persepsi Majlis Agama Islam di Thailand lebih mudah dari segi birokrasi. Di Malaysia, kita terikat dengan enakmen pentadbiran agama Islam di setiap negeri, namun ia bukannya renyah,” katanya.
Beliau berkata, dari segi prosedur memang tiada isu, namun masalahnya adalah birokrasi kerana banyak rungutan orang awam apabila berurusan dengan jabatan kerajaan.
“Apabila ada yang hendak pergi hantar borang, mereka (kakitangan) beri alasan tiada pegawai, pegawai bercuti, berkursus atau kena tunggu tarikh kadi.
“Benda sebegitu tidak perlu berlaku. Jika kita bekerja di bahagian perkhidmatan kerajaan, kita kena tahu dan bersedia, jika perlu hadir ke kursus, pastikan ada pegawai ganti yang sama taraf atau ada kuasa untuk membuat keputusan bukan dengan staf pelatih atau praktikal,” ujarnya.
Beritahu beliau lagi, tempoh melangsungkan pernikahan di Thailand juga tidak perlu mengambil masa lama, hanya sehari hingga dua hari.
“Jika di Thailand, sekali pergi (menikah), habis selesai. Di Thailand juga ada borang nikah, siap dengan surat pengesahan dari konsulat, terjemahan dan ada gambar pernikahan pasangan bersama kadi.
“Melangsungkan pernikahan di Malaysia, sebulan belum tentu selesai, dengan perlu menunggu tarikh sesuai untuk pihak kadi, jadi memang perlu diperhalusi, ISO (piawaian) bagi memudahkan cara pasangan yang hendak berkahwin,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya lagi, pasangan lelaki dan wanita tempatan yang memilih berkahwin di Thailand semestinya tidak akan terlepas daripada berdepan dengan tindakan penguatkuasaan.
“Pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah kerana kahwin tanpa kebenaran pihak berkuasa agama dan kedua berkahwin di luar Malaysia. Mahkamah juga boleh pertimbangkan beberapa perkara sekiranya pasangan itu didakwa.
“Cuma yang tak eloknya, ada sesetengah pasangan cuba sembunyikan poligami daripada isteri pertama. Itu yang jadi masalah atau mereka mahu lari daripada tanggungjawab sehingga membuatkan persepsi poligami tampak jahat dan teruk.
“Saya rasa, bila mana kita pandang muka anak-anak yang masih kecil dan perlukan kasih sayang, memang kita tidak sampai hati untuk berkahwin lagi atau poligami secara sembunyi,” katanya. -KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment