NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin fail pembelaan berkaitan saman fitnah Anwar

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan pernyataan pembelaan berkaitan saman fitnah yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ceramah menjelang pilihan raya di Padang Serai, Kedah, bulan lalu.

Pernyataan pembelaan tersebut difailkan di Pejabat Pendaftraran Sivil, Mahkamah Tinggi di sini, dua hari lalu.

Saman itu berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa berbaur fitnah yang menyatakan Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Mahkamah Tinggi di sini kemudian mengarahkan Anwar memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 16 Februari ini.

Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif memaklumkan demikian kepada pihak media selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Februari secara dalam talian di hadapan penolong pendaftar yang sama,” katanya.

Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Chetan Lachman Jethwani mewakili Muhyiddin (defendan).

Pada 20 Disember 2022, Perdana Menteri memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berhubung dakwaan beliau (plaintif) menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu telah membuat kenyataan fitnah dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, Kedah pada 5 Disember 2022.

Ucapan itu dibuat sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa sehari selepas surat saman dikeluarkan, keseluruhan ucapan Muhyiddin dalam ceramah itu diterbitkan selanjutnya di bawah akaun Facebook defendan.

Menurut Anwar, dakwaan itu sebagai fitnah, palsu dan memperlekeh dirinya serta dibuat dengan niat jahat.

Plaintif antara lain mendakwa, kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku penasihat ekonomi dan menipu orang ramai.

Sehubungan itu, Anwar menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Pada 7 Disember 2022, laporan sebuah portal berita menyebut, Pejabat Menteri Besar Selangor menyangkal dakwaan Muhyiddin dan sebaliknya mendedahkan bahawa Anwar hanya dibayar simbolik RM1 setahun sebagai penasihat. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo