Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran menyifatkan lantikan Izzah itu boleh membantu bapanya yang juga Perdana Menteri dalam menghapuskan hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion kini, ia walaupun kerajaan campuran sedang berdepan kritikan berhubung lantikan tersebut.
“Kerajaan Perikatan telah meninggalkan kita dengan hutang negara sebanyak RM1.5 trilion.
“Itu sangat besar dan kami memerlukan semua bantuan yang kami dapat.
“Nurul Izzah melakukan ini tanpa sebarang gaji, marilah kita menyokong kerajaan dalam menghapuskan bencana yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu,” kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu dipetik dalam ciapan di Twitter hari ini.
Izzah menjadi perhatian selepas memberitahu media bahawa Anwar melantik beliau sebagai Penasihat Kanan Ekonomi sejak 3 Januari lalu.
Bagaimanapun beberapa pihak termasuk daripada Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut kerana menyifatkan ia sebagai satu bentuk amalan nepotisme yang tidak sihat.
Terdahulu, Pengurus Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Sudhagaran Stanley berkata langkah melantik anaknya tersebut berunsur “nepotisme” dan satu “konflik kepentingan”, malah membidas alasan tiada elaun diberikan sebagai tidak relevan.
“Kini menteri lain mungkin melakukan perkara sama melantik anak perempuan atau ahli keluarga bagi mengetuai portfolio penting.
“Di mana garisan penamatnya? Ini sudah pasti bukan amalan tadbir urus baik,” katanya dalam kenyataan, dengan menambah perlunya ketelusan dalam proses pelantikan politik,
Sudhagaran berkata, kelayakan serta proses permohonan dan pemilihan perlu didedahkan kepada umum supaya setiap individu berkepentingan berpeluang memohon untuk jawatan itu.
“Sudah pasti perdana menteri, malah mana-mana menteri sekalipun, mahukan yang orang terbaik dan paling berkelayakan menyertai pasukannya. Namun bagaimana untuk mencapai ini apabila tiada ruang untuk orang awam memohon mengisinya?
“Bagaimana kita boleh pasti bahawa Nurul Izzah orang paling berkelayakan yang telah dipilih untuk jawatan itu?” soalnya dipetik laporan FMT.
No comments
Post a Comment