Kekalahan itu meranapkan Speedy Tigers untuk muncul lapan pasukan terbaik dalam edisi Piala Dunia kali ini.
Dalam aksi itu, Sepanyol mempunyai peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan tetapi percubaan Enrique Gonzalez terkena palang gol pada minit ke-12.
Penjaga gol Malaysia, Muhammad Hafizuddin Othman terpaksa bekerja keras apabila menyelamatkan dua percubaan berbahaya Sepanyol selepas itu daripada Marc Vizcaino dan Joaquin Menini.
Sepanjang tempoh 30 minit pertama, skuad negara dilihat sukar untuk menembusi benteng pertahanan The Red Sticks apatah lagi untuk mendapatkan pukulan sudut penalti pada suku masa pertama dan kedua.
Gol yang dicari-cari Speedy Tigers akhirnya tiba menerusi pukulan reverse Faizal Saari selepas menerima hantaran cantik daripada Faiz Helmi Jali untuk menewaskan penjaga gol Sepanyol, Adrian Rafi pada minit ke-35.
Bagaimanapun, kelebihan Malaysia tidak bertahan lama apabila Sepanyol berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas Marc Mirallea menyudahkan penalti stroker pada minit ke-41.
Skuad negara yang masih terkejut dengan gol itu sekali lagi membenarkan Sepanyol menjaringkan gol apabila kali ini menerusi jaringan padang Xavier Gispert yang tidak dikawal dan mudah menolak masuk bola ke dalam gawang berselang seminit kemudian.
Malaysia berjaya meraih gol penyamaan melalui Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-46 tetapi jaringan itu dibatalkan selepas Video Referral mengesan bola terkena back stick Faizal Saari sebelum itu.
Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat para pemain negara yang kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan melalui Shello Silverius pada minit ke-49.
Hasrat Malaysia untuk meneruskan saingan ke suku akhir tidak kesampaian apabila tewas 3-4 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas Muhammad Firhan Ashari gagal menyudahkan pukulan terakhir.
Kini, skuad bimbingan A. Arul Selavaraj itu terpaksa pulang ke Rourkela untuk beraksi menentang pasukan tercorot Kumpulan A, Afrika Selatan dalam klasifikasi tempat kesembilan hingga 16 di Stadium Hoki Birsa Munda pada 26 Januari ini.
Sepanyol pula akan bertemu pasukan ranking pertama dunia, Australia di suku akhir pada Selasa ini. – UTUSAN ONLINE
No comments
Post a Comment