Orang ramai menunggu untuk mendapatkan makanan percuma di luar sebuah kedai makan di Ahmedabad, India. - Foto AP
Orang ramai menunggu untuk mendapatkan makanan percuma di luar sebuah kedai makan di Ahmedabad, India. - Foto AP

BANGKOK: Hampir setengah bilion atau lebih lapan daripada 10 orang di Asia Selatan mengalami kekurangan zat pada 2021 manakala lebih 1 bilion orang menghadapi kekurangan makanan yang serius.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perkara itu berlaku apabila harga makanan meningkat mendadak dan kemiskinan pula bertambah teruk.

Secara global pula, ketiadaan jaminan terhadap makanan meningkat kepada lebih 29 peratus pada 2021 berbanding 21 peratus pada 2014.

Pengarang FAO, Sridhar Dharmapuri, berkata peningkatan dalam kemiskinan dan kekurangan zat makanan akan berlaku secara seiringan.

"Pemakanan tidak sihat dan makanan yang tidak mencukupi juga menjejaskan kesihatan serta produktiviti masa depan, kerana ia menyebabkan pertumbuhan kanak-kanak terbantut dan terdedah kepada penyakit.

Seorang pekerja di Afghanistan menurunkan makanan sumbangan badan kebajikan Turkiye, di pelabuhan sempadan di Turghundi, daerah Kushk di wilayah Herat. - Foto AFP
Seorang pekerja di Afghanistan menurunkan makanan sumbangan badan kebajikan Turkiye, di pelabuhan sempadan di Turghundi, daerah Kushk di wilayah Herat. - Foto AFP

"Laporan itu mengatakan hampir 25 peratus kanak-kanak di Asia Pasifik terjejas akibat tumbesaran terbantut," katanya.

Selain itu, pandemik COVID-19 dilihat antara punca orang ramai kehilangan pekerjaan dan gangguan besar-besaran berlaku, selain perang di Ukraine yang menyebabkan harga makanan, tenaga dan baja melambung, memberi kesan kepada berjuta orang.

Rantau Asia Pasifik mengimport hampir AS$2 trilion (RM8.5 trilion) makanan setahun, tetapi disebabkan kenaikan harga untuk barang asas seperti beras, gandum dan minyak, ia memberi kesan kepada golongan miskin.

Seorang pekerja di pasar borong di Lahore, Pakistan mengangkut guni berisi buah oren. - Foto AP
Seorang pekerja di pasar borong di Lahore, Pakistan mengangkut guni berisi buah oren. - Foto AP

PBB menyifatkan perkara itu sebagai krisis '5F' kerana kekurangan makanan, bahan makanan, baja, bahan api dan pembiayaan.

Disebabkan itu, hampir dua bilion atau hampir 45 peratus orang yang tinggal di Asia tidak mampu membeli makanan yang sihat, sekali gus menyumbang kepada masalah anemia dan obesiti serta kelaparan.

Disebabkan pandemik itu, hampir satu daripada 10 rakyat Thailand yang terbabit dalam industri pelancongan dan pembuatan mengalami kekurangan zat makanan antara 2019 hingga 2021.

Kemiskinan turut meningkat sebanyak 2.6 peratus antara 2015 hingga 2018, menurut data Bank Dunia. - AP