Kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berterusan, terbaharu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga membidas langkah melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.
Pengurus Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Sudhagaran Stanley berkata langkah melantik anaknya tersebut berunsur “nepotisme” dan satu “konflik kepentingan”, malah membidas alasan tiada elaun diberikan sebagai tidak relevan.
“Kini menteri lain mungkin melakukan perkara sama melantik anak perempuan atau ahli keluarga bagi mengetuai portfolio penting.
“Di mana garisan penamatnya? Ini sudah pasti bukan amalan tadbir urus baik,” katanya dalam kenyataan, dengan menambah perlunya ketelusan dalam proses pelantikan politik,
Sudhagaran berkata, kelayakan serta proses permohonan dan pemilihan perlu didedahkan kepada umum supaya setiap individu berkepentingan berpeluang memohon untuk jawatan itu.
“Sudah pasti perdana menteri, malah mana-mana menteri sekalipun, mahukan yang orang terbaik dan paling berkelayakan menyertai pasukannya. Namun bagaimana untuk mencapai ini apabila tiada ruang untuk orang awam memohon mengisinya?
“Bagaimana kita boleh pasti bahawa Nurul Izzah orang paling berkelayakan yang telah dipilih untuk jawatan itu?” soalnya dipetik laporan FMT.
Stanley juga berkata sudah terdapat seorang Menteri Ekonomi dan langkah melantik seorang lagi penasihat boleh menimbulkan konflik.
“Nasihat siapa akan didengar Perdana Menteri? Anaknya atau Menteri Ekonomi? Inilah masalahnya,” katanya.
Anwar semalam mempertahankan pelantikan Nurul Izzah itu sebagai berdasarkan kelayakannya.
Katanya, Izzah mempunyai ijazah kejuruteraan dan bidang dasar awam dari Universiti Johns Hopkins di AS.
No comments
Post a Comment