Zahid Hamidi menyifatkannya khabar angin, merujuk apa yang dipanggil “Langkah London” yang dikatakan suatu gerakan yang dirancang untuk jatuhkan kerajaan perpaduan.
Lantas beliau tidak mahu mengulas. “Saya ada dengar khabar angin. Saya tak buat keputusan berdasarkan khabar angin,” kata beliau.
Langkah London banyak diperkatakan sekarang. Ini kita cerita sebentar lagi. Kita cerita dulu apa yang kita dengar sebelum ini, kononnya wujud “Langkah Jakarta” yang timbul tidak berapa lama selepas terbentuknya kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Mungkin penganjurnya terangsang dan teruja dengan kejayaan Langkah Sheraton, yang bagi saya, ibu kepada semua langkah politik di Malaysia ini yang memporak-perandakan amalan demokrasi. Kesannya masih terasa.
Apa Langkah Jakarta sebenarnya? Saya rasa ramai sudah tahu atau pernah membaca laporan mengenainya.
Kita ulang kaji. Saya memetik laporan FMT siaran 13 Disember 2022 berbunyi: “Mesej di media sosial yang dikongsi berulang kali oleh individu tidak dikenali mendakwa Ismail dan pemimpin Umno yang tidak hadir mesyuarat MKT pada malam itu berada di Jakarta dan sedang merancang sesuatu.”
Ismail yang dimaksudkan ialah Ismail Sabri Yaakob, naib presiden Umno, dan bekas perdana menteri. Manakala mesyuarat MKT yang tidak dihadirinya merujuk mesyuarat yang diadakan pada 8 Disember 2022. Selain Ismail, seorang lagi naib presiden, Mahdzir Khalid, juga tidak hadir.
Apa pun mesej di media sosial yang mendakwa Ismail dan pemimpin Umno berada di Jakarta tidak pula beritahu apa yang dirancang seperti didakwa. Apa pun mesej itu menggelar pertemuan itu “Langkah Jakarta” dan mendakwa Muhyiddin Yassin, pengerusi Perikatan Nasional, turut berada di kota raya itu.
Ismail menafikan dakwaan beliau merancang sesuatu bersama Muhyiddin di Jakarta. Lantas (menurut Malaysiakini) memberi amaran akan mengambil tindakan undang undang terhadap sebaran ‘fitnah’ berkenaan.
Ismail juga dipetik berkata, “Saya sudah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemfitnah”. Mengambil kira arahan kepada peguamnya bolehkah dirumuskan Ismail tahu siapa pemfitnah berkenaan? Jika tidak masakan arahan diberi kepada peguamnya. Belum ada perkembangan seterusnya.
Menurut laporan FMT 13 Disember 2022 itu juga, itu bukan kali pertama Ismail berdepan dakwaan sedemikian. Sebelum itu beliau dan beberapa pemimpin BN didakwa menghadiri pertemuan tertutup bersama parti dari gabungan lain.
Khabar angin mengenai Langkah Jakarta tersebar ketika Umno-BN dilihat terbahagi kepada dua kem – golongan yang menyokong kerajaan perpaduan dan yang tidak menyokong.
Kini Ismail dikaitkan dengan Langkah London. Katanya, beliau didakwa berada di London walhal sedang bercuti bersama keluarga di Dubai. Kata beliau, tuduhan mengaitkannya dengan gerakan rahsia adalah “fitnah berniat jahat yang dilakukan pihak yang tidak kenal dosa”.
Cerita Langkah London bermula apabila tersebar baru-baru ini gambar individu yang didakwa Muhyiddin mengadakan pertemuan di London, sekaligus mencetus spekulasi terdapat rancangan atau konspirasi pihak tertentu untuk menjatuhkan Zahid daripada jawatan presiden Umno.
Bolehlah disimpulkan sifir polititiknya ialah jatuhkan Zahid boleh jatuhkan kerajaan perpaduan. Teori ini akan diperkatakan pada artikel saya akan datang, insyaallah.
Secara kebetulan atau terancang, cerita Langkah London timbul menjelang perhimpunan agung Umno pada 11 -14 Januari ini dan dikaitkan juga dengan pemilihan Umno yang akan diadakan beberapa bulan lagi.
Adakah Langkah London benar wujud atau sekadar khabar angin seperti yang dianggap Zahid?
Saya harap ia hanya spekulasi, cakap-cakap kosong dan ya, khabar angin. Kerana seperti yang pernah saya tulis pada beberapa artikel lalu, biarlah kerajaan yang ada ini diberi masa, kesempatan, dan peluang untuk menunjukkan apa yang ia mampu lakukan untuk memperbetulkan apa yang tidak betul dalam negara ini.
Jika ia gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab, tumbangkanlah melalui peti undi apabila PRU16 diadakan empat atau lima tahun mendatang, bukan melalui rampasan kuasa dan masuk ikut pintu belakang ala Langkah Sheraton.
Syukur apabila Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, dilapor Malay Mail 4 Januari lalu, memberi jaminan bahawa pembangkang tidak ada rancangan mengorak apa-apa langkah untuk menukar kerajaan.
Sebaliknya, kata beliau, pembangkang akan mengizinkan kerajaan melaksanakan tugas. Katanya dengan memberi peluang kepada Anwar untuk mentadbir negara dan menyediakan Malaysia menghadapi realiti ekonomi yang sukar pada tahun ini “akan menunjukkan pembangkang ambil berat dan peduli akan negara dan rakyat.”
Hamzah enggan membuat penilaian prestasi Anwar setakat ini kerana katanya “tidak adil untuk komen kerana baru dua bulan Anwar jadi perdana menteri”. Anwar katanya pernah menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan yang bagus tetapi sekarang dunia menghadapi masalah besar berkaitan ekonomi.
“Jangan ganggu dia. Biarkan dia kerja menangani hal ekonomi, stabilkan ekonomi, dan rakyat akan suka,” kata beliau.
Kata-kata dan jaminan yang cukup melegakan bahawa Perikatan Nasional akan jadi pembangkang yang berkesan.
Hamzah berkata apa yang beliau kata pada forum Kelab Concorde mengenai isu semasa.
Namun pada forum 4 Januari itu, beliau juga berkata PN terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik pada masa depan termasuk BN.
Untuk berlaku adil perlu dinyatakan istilah Langkah London tidak disebut malah tidak ditimbulkan.
Menurut BH Online, Hamzah enggan merujuk cadangan kerjasama yang beliau maksudkan itu sebagai Muafakat Nasional. Beliau hanya menegaskan ia hanya boleh direalisasi jika semua pemimpin bersetuju dengan matlamat sama
Ketika ditanya kemungkinan PN boleh kembali berkuasa menerusi kerjasama baharu Hamzah menjawab: “Pintu sentiasa terbuka”.
Dengan berkata “pintu sentiasa terbuka”, Hamzah membuka pelbagai persoalan serta spekulasi. Lalu kita juga terbuka untuk membuat kesimpulan sendiri .
Saya tidak mampu menyelami minda Hamzah mengapa dan dalam konteks apa beliau bercakap mengenai pintu terbuka. Adakah beliau memang mahu spekulasi dibuat? Untuk mengacau, menyakat, mahupun menakutkan kerajaan? Atau “playing mind games”?
Ini bukan permainan. Alangkah baiknya jika beliau “stick to his earlier remarks, yakni jaminan tidak ganggu kerajaan menjalankan tugas?
Mungkin artikel ini dituduh pro-kerajaan. Sebenar penulisan ini pro-rakyat dan pro-negara.
Sumber | FMT
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment