PUTRAJAYA: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini sempena Perhimpunan Agung UMNO.
Menerusi satu video di akaun Tik Tok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Beliau pada masa sama hairan penambahan usul itu dibentangkan oleh pembahas dari Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Samsudin yang merupakan orang Rembau sedangkan Timbalan Presiden sendiri, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau.
“Pelik sebab Timbalan Presiden ialah Ketua UMNO Bahagian Rembau, kalau nak bawa penambahan usul pun cover lah sikit, what happen to you Mat Hassan?
“Jadi usul ini (tidak ada pertandingan jawatan nombor 1 dan 2) sedang dibahas tapi mendapat tentangan hebat daripada beberapa pembahas Wilayah Persekutuan, Johor yang masih berani untuk menghormati kehendak perwakilan supaya demokrasi dapat dijalankan seperti biasa dalam parti UMNO.
“Saya merayu perwakilan yang ada dalam dewan kita jangan biarkan usul ini lulus, kita bagi perwakilan bahagian untuk kebebasan memilih pucuk pimpinan parti yang akan datang,” katanya.
Khairy yang telah menyatakan kesediaan mencabar jawatan Presiden berkata, beliau berjanji pemilihan tidak akan membawa perpecahan dan siapa sahaja yang menang dapat mandat daripada parti.
Malah, beliau berkata, siapa sahaja yang menang akan diberikan sokongan dan ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nnti.
“Itu budaya kita dalam UMNO, pemilihan memang biasa dan pertandingan memang biasa, tapi bila dah menang kita move on sebab yang menang akan dapat mandat dan kita merapatkan balik saf kita.
“Jadi naratif yang kata pemilihan membawa perpecahan adalah tidak benar sama sekali. Kita dah tinggal 26 kerusi Parlimen dalam UMNO. Ini prestasi terburuk sejarah parti kita,” katanya.
Oleh itu beliau merayu perwakilan dalama UMNO jangan melakukan ‘langkah Dewan Merdeka’ untuk membunuh demokrasi dan menidakkan suara perwakilan bahagian akar umbi untuk menentukan masa depan parti bagi memilih siapa yang boleh dan siapa yang layak menerajui parti sekali gus membangkitkan semula parti keramat UMNO.
“Say merayu kita membuat keputusan bijak hari ini,” katanya.-UTUSAN
No comments
Post a Comment