Kerakusan Ahmad Zahid akan meranapkan UMNO dan bakal dicatat dalam sejarah sebagai Presiden yang menghancurkan UMNO, kata Kartini Aboo.
KUALA LUMPUR: UMNO didakwa berada di ambang kehancuran selepas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecat Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar serta menggantung beberapa ahli lain termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib berkata, kerakusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan meranapkan UMNO dan bakal dicatat dalam sejarah Malaysia sebagai Presiden yang menghancurkan UMNO.
Beliau berkata, ada pihak berpandangan bahawa Ahmad Zahid mempunyai agenda tersembunyi untuk menggabungkan UMNO dan PKR sebagai satu parti.
"Cara untuk perkahwinan ini berjaya ialah memecat atau menggantung ahli UMNO yang pada hemah Ahmad Zahid akan menjadi duri dalam daging," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mesyuarat MKT semalam memutuskan memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan bekas ahli Parlimen Rembau itu berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif, dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Turut dipecat, lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari negeri Pahang.
Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN), dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15.
Mengulas lanjut, Kartini berkata, ada juga pandangan yang mengandaikan pembersihan dalaman UMNO adalah untuk menghidupkan semula parti menjadi lebih kuat, ibarat burung phoenix yang harus mati dahulu sebelum dibangkitkan semula (resurrection).
Bagaimanapun, kata beliau, pandangan itu boleh dibahaskan secara moral.
"Apa pun motif Ahmad Zahid, tindakan beliau memecat KJ, Noh Omar, menggantung Hishammuddin dan beberapa pemimpin lain tidak dihargai ahli UMNO dan orang Melayu.
"UMNO akan terus ditolak dan PRN negeri akan menentukan masa depan UMNO yang kelihatan hitam gelap di hadapan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditanya berhubung keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu enggan memberi sebarang komen, namun akan menjawab mengenai isu tersebut dalam suatu majlis yang akan diadakan tidak lama lagi.
No comments
Post a Comment