NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Pasir

BELUM sempat duduk dengan sempurna, Kerajaan ‘Perpaduan’ Sabah sudah pun bergoncang. Walaupun ia jauh di Timur Malaysia dan kita faham politik Sabah yang sering tidak stabil sejak Umno masuk Sabah, namun kali ini difahamkan ada ‘restu’ dari Semenanjung terhadap langkah Bung Mokhtar. Benar atau tidak, ianya adalah kemungkinan yang nyata dari petanda yang ada.

Hajiji dan Bung diketahui punya masalah sejak penubuhan kerajaan dalam PRN lalu. PRN pertama yang menguji cantuman ketika itu antara PN dan BN menyerlahkan perbalahan awal yang menzahirkan pertembungan antara dua gabungan tersebut setelah bersama membentuk Kerajaan Pusat. Percantuman antara BN dan PH yang turut disertai Hajiji di Sabah kini juga menzahirkan retak yang sebenarnya berpusat di Kuala Lumpur.

Pembentukan Kerajaan Pusat pimpinan Anwar Ibrahim bermula dengan pelbagai kemelut dan kepelikan yang akhirnya mereka berkelambu yang kononnya dari Istana Negara. Seperti jua di Perak yang hakikatnya entah tangan siapa yang menari dan menunjuk. Penyatuan kerajaan ini dilihat sangat rapuh walaupun ‘gabungan’ yang ada menghimpunkan ‘gabungan’ dua pertiga Ahli Parlimen. 

PN pula dilihat memilih menjadi pembangkang yang baik namun tetap diragui dengan gurauan dari Ahli Parlimen Arau yang sering kali menimbulkan tanda tanya. Apatah lagi sejarah negara belum sejuk dengan peralihan Kerajaan Pusat yang kemudiannya menukar hampir semua bendera di negeri Semenanjung. Walaupun Anwar berharap kerajaan ini tidak diganggu seperti dia mengganggu Kerajaan PN yang sedang memberi fokus bencana COVID-19, gangguan itu dilihat datang dari Umno. 

Belum ada pihak secara berani mengaitkan Anwar dengan percaturan Sabah tetapi nama Anwar tetap disebut memberi restu dan kemudiannya mencatur menyusun pengaruh peribadi beliau di Sabah. Belum ada kesudahan politik Sabah ini namun tindakan Bung yang dilihat gagal hanya akan lebih menimbulkan goncangan lebih hebat. Punca sebenar pertembungan mereka yang meletuskan ledakan itu belum lagi dirungkai. Rakyat hanya melihat letusannya namun belum mengetahui punca ledakan itu.

Desas-desus ianya berpunca dari projek, kuasa dan ‘bahagian’ dari samunan projek tetap kencang bertiup. Ia dikatakan menjadi punca ledakan itu. Sementelahan diketahui bahawa kerajaan itu dibentuk untuk merebut khazanah yang masih berbaki di Sabah yang tandus dari projek pembangunan. Jika hak Sabah terutama royalti minyak dialirkan mengikut angka dituntut, tentulah limpahan projek akan mengalirkan ‘bahagian’ kepada mereka yang membahagikan projek tersebut.

Rakyat sedang menanti bagaimana papa kewayangan mengurus kemelut di Sabah. Apakah beliau ada solusi tuntas atau akan terus ‘berwayang’ agar rakyat lupa apa terjadi. Ibarat menyapu sampah di bawah karpet, akan tiba masanya muncul bonjolan yang menyerlahkan sampah dan mungkin tiba masanya ia koyak dan memuntahkan isi yang tertutup.

Politik itu terlalu pantas dan sering kali sukar diramal. Kadangkala kerajaan yang dilihat kukuh boleh semudahnya roboh kerana di bina dari pasir di pantai. Tak perlu tunggu badai, ombak kecil pun bisa menderaikannya

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perak 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo