Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata walaupun pihaknya tidak menjangkakan Anwar Ibrahim ke Sabah, beliau berterima kasih atas kesudian perdana menteri ke negeri itu bertemu wakil rakyat.
KOTA KINABALU: Di sebalik kemelut politik yang berlaku, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dijangka tiba malam ini untuk bertemu pemimpin parti di sini.
Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, berkata walaupun pihaknya tidak menjangkakan Anwar ke Sabah, beliau berterima kasih atas kesudian perdana menteri ke negeri itu bertemu wakil rakyat.
“Beliau adalah perdana menteri dan kita menghormatinya, walaupun kita tidak jangka, kita hormat dan berterima kasih kerana beliau sudi berjumpa dengan semua wakil rakyat (Sabah),” katanya ketika ditemui di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya.
Anwar dijangka tiba di Kota Kinabalu malam ini untuk bertemu pemimpin Sabah susulan kemelut politik sejak minggu lalu.
Difahamkan, beliau akan bertemu pemimpin GRS, Barisan Nasional (BN) serta Warisan dalam usaha meleraikan pergolakan politik ketika ini.
Sementara itu, Masidi berkata, pertemuan semua ADUN kerajaan di Sri Gaya tidak membincangkan rombakan Kabinet seperti diumumkan Ketua Menteri Hajiji Noor sebelum ini.
“Tiada dibincangkan (mengenai rombakan Kabinet), kami berkumpul di sini (Sri Gaya) hanya untuk bincang persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) esok bagi tujuan meluluskan dua enakmen berkaitan pengurusan gas dan penubuhan suruhanjaya tenaga di Sabah.
“Perjumpaan ini tidak membincangkan soal politik, kami memutuskan untuk berehat daripada politik hari ini,” katanya.
Ketika ditanya sama ada akan berlaku perpindahan kerusi wakil rakyat pada persidangan khas esok, Masidi turut menafikannya.
“Kita harap semua wakil rakyat bersifat matang dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat terutama kita melihat kepada hasil rundingan antara kerajaan pusat dengan negeri berkaitan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
No comments
Post a Comment