NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Imran bakal Ketua Pemuda UMNO Malaysia?

MUKADIMAH

Pemuda UMNO pimpinan Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dusuki menerima tamparan selepas dikatakan gagal memainkan peranan sebagai sayap parti keramat itu. Dengan UMNO pertama kali tewas teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Asyraf Wajdi juga menerima tekanan apabila kalah di kubu kuat parti itu di Gerik.


Selepas mengumumkan untuk tidak mempertahan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO, kini nama Ketua Pemuda UMNO Sungai Besar, Datuk Mohd. Imran Tamrin pula disebut-sebut bagi menggantikan Asyraf Wajdi.
Kepada wartawan Utusan Malaysia AHMAD FADHLULLAH ADNAN, Mohd. Imran ditanya mengenai ‘kuasa’ Pemuda UMNO ketika ini dan sama ada beliau mahu menggantikan Asyraf Wajdi.

Pemuda pimpinan Asyraf Wajdi dilihat seolah-olah tidak berfungsi, komen Datuk?
Setiap Ketua Pemuda ada legasi mereka masing- masing. Zaman ketua ketika beliau ini mempunyai dinamik politik yang berbeza. Ketika kepimpinan beliau adalah untuk kita kembali kepada asas. Beberapa perkara dititikberatkan, saya ingat itu adalah antara kejayaan-kejayaan yang telah berjaya beliau laksanakan sebagai ketua pemuda.

Asyraf Wajdi disindir kerana gagal pertahan Gerik, Ketua Pemuda tanpa Parlimen, komen Datuk?
Asyraf Wajdi adalah Ketua Pemuda yang tiada jawatan pentadbiran sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara mahupun jawatan-jawatan dalam kerajaan, jadi beliau memegang hanya satu jawatan dalam parti. Jadi beliau boleh menumpukan seluruh jiwa dan raga dan gerak kerjanya mengukuhkan Pemuda di peringkat akar umbi. Beliau telah menjelajah ke 191 bahagian dan saya tidak melihat itu sebagai kegagalan. Mungkin dari sudut penerimaan anak- anak muda kepada parti sendiri ada defisit sokongan yang kita perlu lihat dan kaji, maka kita perlu terus bergerak ke hadapan.

Bagi saya, Asyraf Wajdi sudah berjaya menerajui Pemuda UMNO pada zamannya dan juga berjaya melaksanakan objektif dan matlamat beliau.

Langkah diambil Asyraf Wajdi tepat?
Saya merasakan itu adalah hak beliau untuk meneruskan atau tidak mempertahan jawatan. Pada saya, beliau sudah berjaya melaksanakan jawatan beliau dengan baik. Beliau berjaya membuat pengkaderan peringkat akar umbi dengan menubuhkan Skuad Sabil dan beberapa badan-badan sukarelawan yang lain dalam UMNO yang kita gerakkan dengan semangat kesukarelawanan. Dengan usaha ini, Pemuda tidak lagi dilihat sebagai Pemuda yang eksklusif dan dalam masa sama berada di lapangan dengan anak-anak buah sekalian.

Disebut-sebut sebagai individu untuk menggantikan Asyraf Wajdi, komen Datuk?
Apabila Asyraf Wajdi mengumumkan untuk tidak lagi mempertahan jawatan Ketua Pemuda, maka sememangnya akan ada cadangan atau saranan di peringkat kepimpinan negeri atau nasional. Jadi soalnya siapa? Who’s next? Yang akan mengetuai kepimpinan pergerakan Pemuda UMNO. Jadi pada waktu dan ketika ini, saya ingat kita beri ruang kepada semua kawan-kawan yang mungkin berhasrat dan bercita-cita. Saya setakat ini belum lagi menyatakan pendirian saya. Cuma pada saya, untuk memperkukuh institusi Pemuda, ia mestilah bermula dari akar umbi.

Datuk berminat?
Saya terbuka untuk perkara ini. Saya akan menerima pandangan dan juga nasihat daripada yang lain. Setakat ini saya suka untuk tidak menyatakan apa-apa lagi, kerana pemilihan di peringkat parti pun belum diumumkan lagi. Mungkin selepas daripada itu barulah kita akan lihat. Sebelum kita nak memulakan gerak langkah itu kita haruslah berpijak di bumi yang nyata. Saya lebih suka ke arah itu supaya kita tidak dilihat dalam keadaan yang tergesa-gesa. – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo