6028D14B-CCF8-4FBF-AA28-BD4D9E35A52E-681x454

MARAN – Bermula sekadar batuk biasa, seorang ibu tunggal di Kampung Paya Ladang, Chenor, di sini tidak menyangka dia didiagnos dengan kanser paru-paru tahap empat sejak September tahun lalu.

Nonarizam Mohamed Nawawi, 44, ketika ditemui dirumahnya memberitahu, pada awalnya dia mengalami semput dan batuk berlarutan sebelum ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Saya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk periksa. Masa tu tahu air penuh dalam paru-paru dan doktor sedut keluar dalam lima botol juga (air),”katanya.

8782A468-0165-4DBD-A0E5-042988BF39DF
Nonarizam Mohamed Nawawi

Katanya, doktor di Hoshas menyarankan beliau untuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Buat MRI, CT Scan semua, barulah diberitahu ada kanser paru-paru tahap empat,” kata Nonarizam sambil mengesat air mata.

MalaysiaGazette difahamkan Nonarizam sedang menanti keputusan ujian darah yang diambil baru-baru ini bagi memastikan jenis rawatan yang sesuai buatnya.

Apa yang paling terkilan baginya adalah tidak lagi mempunyai kudrat untuk terus mengambil upah menjahit baju yang merupakan punca pendapatan sekeluarga.

Manakan tidak, wanita tabah itu perlu menyara ibunya yang berusia 72 tahun dan lima anak-anak yang berusia 8 hingga 21 tahun dan masih belajar.

“Setakat ni kami bergantung kepada wang sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM600. Tidak ada sumber pendapatan lain lagi,” jelasnya.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Nonarizam, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Pertanian Malaysia Berhad milik Nonarizam Mohamed Nawawi di nombor akaun 2-100-1142-00003368-9.

Sementara itu, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib hadir ke rumah Nonarizam hari ini bagi menghulurkan bantuan berbentuk bakul makanan dan wang tunai kepada ibu tunggal itu.

E02F5110-F756-443B-B73D-EC83589D4202
Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (kiri) menyerahkan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada Nonarizam Mohamed Nawawi (kanan) di rumahnya di Kampung Paya Ladang, Chenor hari ini

“Kita mohon kepada Allah supaya apa juga cabaran dan dugaan yang dihadapi mereka dapat diringankan oleh Allah,” katanya.

Beliau berkata, program ziarah kasih seperti ke rumah Nonarizam diadakan setiap minggu kerana menyedari masih ramai golongan warga emas dan mereka yang memerlukan perlu disantuni.-MalaysiaGazette