PETALING JAYA: Harga makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50% pada sesi pembukaan sekolah yang bermula Selasa lalu, susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran, kata Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah.
Presidennya, Khairuddin Hamzah, berkata peningkatan harga itu bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.
Khairuddin yang turut mengusahakan kantin di sebuah sekolah dekat Semenyih berkata, antara menu menyaksikan peningkatan harga adalah roti canai yang dijual pada harga RM1.50 berbanding RM1 pada tahun lepas.
“Ayam goreng tepung dari RM1 dijual antara RM1.50 dan RM2 manakala nasi lemak dari RM1 kepada RM1.50,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, beberapa menu utama lain seperti mi goreng, nasi goreng, serta kuih-muih masih mengekalkan harga lama.
Beliau menambah, kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah seperti telur, gula dan minyak masak juga memberi kesan kepada kelancaran operasi kantin.
“Di kantin sekolah, kami terikat dengan peraturan makanan dan minuman yang boleh dan tak boleh dijual.
“Dengan terputusnya bekalan telur, kami kekurangan menu yang boleh dijual pada harga mampu dibeli oleh murid,” katanya, namun menambah situasi itu tidak sampai menjejaskan sebahagian besar aliran tunai mereka.
Katanya, peningkatan kos operasi kantin juga menyaksikan hampir 50% pengusaha kantin tidak menyambung operasi mereka dan digantikan dengan pengusaha baharu.
“Berdasarkan proses tender yang berakhir hujung tahun lepas, lebih 40% adalah operator baharu… saya perhatikan banyak sekolah yang sampai tarikh tutup tender masih tiada pemohon, sekolah saya sendiri kalau dulu lebih 10 pemohon tetapi kali ini hanya empat pemohon saja,” katanya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment