Menurut laporan akhbar New York Post, Hindenburg menerusi nota penyelidikannya yang dikeluarkan lewat Selasa lalu mendakwa peningkatan kekayaan Adani didorong oleh pelbagai kegiatan salah laku haram.
“Kami telah menemui bukti penipuan perakaunan, manipulasi saham dan pengubahan wang haram dalam syarikat milik Adani yang telah berlaku selama beberapa dekad,” kata Hindenburg dalam nota tersebut.
Adani, 60, mengumpul kekayaan yang dianggarkan oleh majalah Forbes bernilai AS$125.5 bilion (RM533.39 bilion) sebelum laporan Hindenburg tersebut didedahkan.
Firma penyelidikan tersebut meneliti rangkaian syarikat milik bilionair itu yang meluas dengan pegangan merentasi beberapa industri termasuk kawalan pelabuhan, lapangan terbang utama, tenaga, hartanah serta simen.
Menurut Hindenburg, ia menjalankan penyiasatan selama dua tahun terhadap empayar perniagaan Adani dengan melakukan penyelidikan yang merangkumi berpuluh-puluh temu bual melibatkan bekas-bekas eksekutifnya dan analisis dokumen dalaman serta lawatan ke tapak-tapak milik syarikat tersebut.
Antara yang dilaporkan adalah dakwaan bahawa Adani dan beberapa ahli keluarga serta eksekutif syarikat lain menyelia rangkaian syarikat-syarikat tidak aktif di luar pesisir yang terletak di kawasan perlindungan cukai di seluruh Mauritius, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Caribbean.
Saham awam yang berkaitan dengan Adani Group kehilangan nilai yang digabungkan bersamaan dengan kira-kira AS$12 bilion (RM51 bilion) pada kelmarin berikutan pengeluaran nota kajian Hindenburg tersebut, demikian menurut agensi berita Bloomberg.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Adani Group, Jugeshindar Singh berkata, syarikat itu terkejut dengan dakwaan Hindenburg dan menafikan sekeras-kerasnya semua laporan tersebut.
“Laporan itu adalah berniat jahat, memilih maklumat salah, dakwaan lapuk, tidak berasas, tidak berwibawa serta pernah ditolak oleh mahkamah tertinggi India,” kata Jugeshindar. – AGENSI
No comments
Post a Comment