Enggan mendedahkan tarikh pernikahan, Fyna atau nama sebenar, Nur Syafinaz Jebat, 29, berjaya mengumpul kekuatan apabila mengumumkan spekulasi yang mula diperkatakan sejak minggu lalu.
Mulanya Fyna seakan-akan cuba bermain tarik tali, namun akhirnya tidak mampu berselindung lagi, apatah lagi, berita gempar itu dinantikan ramai.
“Alhamdulillah, saya sudah pun bernikah. Terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang memberikan komen baik-baik.
“Harap dapat doakan saya dan keluarga,” kata Fyna.
Pendedahan dibuat selepas Fyna dan kakaknya, Ayda Jebat selesai beraksi untuk program realiti, Famili Duo yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin.
Agak keberatan mengulas butiran majlis pernikahannya, Fyna hanya minta mendoakan yang terbaik perkahwinannya dengan bintang yang terkenal sebagai penyerang skuad kebangsaan era 1980-an dan 1990-an itu.
Seakan memahami situasi dihadapi adiknya, Ayda memohon jasa baik media supaya tidak bertanya lebih lanjut berhubung butiran perkahwinan.
“Rasanya tiada apa lagi yang perlu diceritakan. Hanya setakat itu sahaja yang boleh kami kongsikan. Harap semua faham.
“Apapun, saya berbangga adik saya berani bercerita perkara ini kepada semua orang. Terima kasih atas doa buat kami,” ungkap Ayda mengharap pengertian.
Walaupun enggan bercerita lanjut mengenai status perkahwinannya, namun pemenang tempat ketiga, program Akademi Fantasia 9 ini mengakui, Zainal Abidin begitu menyokong kerjaya seninya.
“Beliau merestui dan menyokong pembabitan saya dalam program realiti, Famili Duo. Itu yang kami menang minggu ini,” katanya sambil tertawa.
Terdahulu, gosip perkahwinan tidak langsung mengganggu Fyna untuk membuat persembahan dalam program Famili Duo.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan gosip Zainal Abidin bernikah dengan seorang wanita berusia 29 tahun apabila topik itu menjadi perbualan hangat dalam media sosial.
Beberapa portal dilaporkan memetik nama bekas pengendali Penang FC dan Melaka United itu melangsungkan perkahwinan dengan wanita terbabit yang dikatakan adik kepada Ayda, iaitu Fyna.
Arena Metro memetik sumber yang mengesahkan pasangan terbabit berkahwin, baru-baru ini, namun hanya diketahui individu dan ahli keluarga terdekat.
Mengikut rekod, Zainal Abidin berkahwin kali pertama pada 1980-an dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Sementara itu, konsert minggu keempat Famili Duo menyaksikan pasangan adik-beradik itu dinobatkan sebagai juara mingguan.
Pada minggu bertemakan Cinta/Romantis itu, Ayda dan Fyna menyampaikan lagu popular Farahdhiya berjudul Bertakhta Di Hati yang digubah muziknya oleh Ayda dalam genre rock.
“Asalnya, Fyna pilih lagu lain. Walaupun bergenre rock, tetapi lagu itu agak sukar untuk diberi variasi.
“Hanya pada Rabu kami memutuskan untuk tukar lagu dan tampil dengan idea ini.
“Selama empat minggu ini memang kami mahu memberikan persembahan terbaik hingga sanggup berhabis.
“Jumlah keseluruhan kos dikeluarkan sepanjang empat minggu ini membabitkan RM55,000.
‘Walaupun duit kemenangan malam ini tidak dapat menampung kos sudah dibelanjakan, tetapi kami berpuas hati.
“Saya harap penonton terhibur dengan persembahan kami,” kata Ayda.
Selain Ayda dan Fyna, Famili Duo musim baharu turut menyaksikan Ara Johari dan Shaffiq Erwin yang juga sepupu beradu bakat dengan peserta lain iaitu Bella Astillah dan Wani Kayrie (sepupu) serta Sabhi Saddi dan Fareed PF K-Clique (adik-beradik).
Turut bersaing, Sissy Imann dan Naim Daniel (sepupu); Siti Sairah dan Siti Saida (adik-beradik) serta Yamani Abdillah dan Zaki Yamani (adik-beradik).
- Berita Harian
No comments
Post a Comment