NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Datuk Zulkifli Albakri beri nasihat kepada Syamsul Yusof, keluarga dan netizen

PETALING JAYA – Kemelut rumah tangga antara pelakon terkenal Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana Kamaruddin yang hangat diperkatakan kini turut menarik perhatian Tokoh Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Zulkifli melalui blognya baru-baru ini turut mengemukakan beberapa nasihat kepada pelakon berkenaan serta orang ramai yang tidak ketinggalan menyuarakan pendapat masing-masing berhubung konflik rumah tangga pasangan itu.

Zulkifli memulakan nasihat pertama dengan memaklumkan bahawa agama itu adalah nasihat, di mana beliau memetik Imam al-Tabari yang berkata maksud saling berpesan dengan kebenaran itu adalah mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan.

“Kedua, syabas diucapkan kepada saudara Syamsul kerana tindakannya meletakkan noktah bagi kemelut ‘cakap-cakap belakang’ dengan mengisytiharkan perkahwinan tersebut adalah perlakuan yang berani.

“Ketiga, syabas kepada Datuk Yusof Haslam kerana sikap yang ditunjukkannya jelas amat matang,” katanya.

Katanya, sifat kebapaan yang dizahirkan mengingatkan beliau kepada kisah Nabi Nuh AS yang tegas dengan prinsip dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

“Nasihat keempat kepada keluarga semua pihak yang terlibat, wajib untuk kita beriman dengan qadha’ dan qadar.

“Ingatlah firman Allah SWT; “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui,” katanya.

Zulkifli turut menasihatkan sikap semua pihak agar mengambil kebaikan dalam hidup dan jadikan keburukan sebagai sempadan untuk membina semula kehidupan yang baharu.

“Keenam, kehidupan yang baru hendaklah diteruskan. Inilah realiti, di mana semua pihak perlu akur. Nasihat saya, dalam kehidupan rumah tangga, tiga perkara utama perlu dititikberatkan.

“Keadilan sama ada dari nafkah zahir dan batin, termasuk juga perasaan kasih sayang. Mu’asyarah (pergaulan) yang baik. Hal ini menjadi perintah Tuhan. Serta yang ketiga zahirkan rasa kasih sayang kepada kaum keluarga dan anak-anak,” jelasnya.

Nasihat ketujuh pula Zulkifli menasihatkan agar jadilah suami dan bapa yang terbaik kerana kebaikan seseorang bukan semata-mata dinilai pada hanya memberi, menjamu, bersedekah, solat, zakat dan haji, tetapi dalam hablum min al-nas atau hubungan sesama manusia.

“Kelapan; bahagia merupakan impian utama. Ingatlah, dalam kehidupan, semua dalam kalangan kita inginkan bahagia dalam hidup. Tetapi tidak semua dapat mencapainya.

“Nasihat kesembilan, mohonlah maaf kepada kedua ibu bapa serta patuhlah kepadanya mereka kerana itu adalah perintah Allah SWT,” ujarnya.

Bagi nasihat kesepuluh pula ditujukan kepada netizen, di mana diingatkan supaya mendoakan kebaikan kepada individu yang terlibat bukan dengan tindakan seolah-olah ingin menjatuhkan dan menghancurkan rumah tangga yang telah dibina berdasarkan syarak.

“Kesebelas: Jangan marah kerana sifat marah boleh menghilangkan pertimbangan akal dan membawa kepada persengketaan. Tindakan pada ketika itu akan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan melepaskan amarah.

“Kedua belas: Kita tidak mahu menjadi golongan yang tergelincir lidah, bahkan rugi kepada diri kita sendiri. Ingatlah, kita semua banyak melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah yang sentiasa bertaubat,” tambahnya.

Nasihat terakhir, Zulkifli menasihatkan supaya suami ister menjaga solat terutamanya solat Tahajjud di waktu malam bagi meraih rahmat daripada Allah SWT. – KOSMO! ONLINE.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo