NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP tidak faham prinsip PN - Dr Dominic Lau

GEORGE TOWN: Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau menyifatkan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari tidak memahami prinsip sebenar perjuangan Perikatan Nasional (PN) apabila mendakwa parti itu bersekongkol dengan wadah politik perkauman ekstremis.

Dominic berkata, Zairil perlu melihat semula video-video kempen PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang banyak menekankan perjuangan PN yang berpegang pada prinsip bersih dan stabil serta tidak dipengaruhi unsur rasuah.

“Zairil tidak faham apa itu prinsip PN, PN adalah bersih dan stabil. Jadi saya minta Zairil lihat dahulu video-video kempen PN ketika PRU-15, di situ dia boleh tahu apa slogan PN,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang di sini hari ini.

Dominic mengulas mengenai kenyataan Zairil hari ini yang mendakwa Gerakan rela bersekongkol dengan wadah politik perkauman ekstremis yang dibawa oleh PN demi untuk kekal dalam politik negara.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, Zairil sepatutnya melihat dahulu politik DAP yang pada masa ini bergabung dengan UMNO demi untuk berkuasa.

”Ketika PRU-15, DAP yang mengatakan Barisan Nasional (BN) parti yang rasuah, tidak ada integriti, namun sekarang sudah jadi hakikat parti yang rasuah kini menjadi kerajaan bersama mereka.

”Jadi siapa yang lebih teruk, jika mahu kutuk orang lain, kutuk diri sendiri dahulu. Dulu kutuk UMNO sekarang DAP bersama UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang membantah promosi penjualan arak sempena perayaan Tahun Baharu Cina di sebuah pusat beli-belah, Dominic berkata, Muhammad Fawwaz bertindak sebagai wakil rakyat di kawasan yang majoritinya orang Melayu.

”Saya telah berhubung dengan Muhammad Fawwaz dan dia telah memberi penjelasan berhubung perkara ini, bagi saya penjelasan yang diberikan adalah adil,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, Gerakan berpendapat promosi penjualan arak mesti dibenarkan kerana hanya dilaksanakan pada masa jangka pendek iaitu semasa Tahun Baharu Cina.

”Jika promosi sebegini diadakan pada bulan Ramadan, saya sendiri akan katakan ia tidak betul, namun ia diadakan sempena Tahun Baharu Cina dan untuk yang bukan Islam.

”Berilah peluang untuk jurujual mencari pendapatan lebih menerusi jualan ini yang hanya dilakukan pada Tahun Baharu Cina,” katanya. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo