KUALA LUMPUR: DAP bimbang tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan, terutama ketika bakal berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, merangkap Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy, berkata ia diburukkan lagi dengan prestasi UMNO yang sudah lemah untuk meraih sokongan pengundi Melayu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepemimpinan UMNO supaya segera memperkukuhkan kedudukannya, selain menjalankan pelan mitigasi bagi memastikan kesan tindakan terbaharu parti itu dapat diminimumkan.
"UMNO sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpinnya. Apabila sesuatu berlaku dalam parti dan tindakan perlu diambil, ini saya rasa tidak berbeza dengan parti lain.
"Saya lihat UMNO sudah lama berpecah, sejak 1998. Isu pemecatan dalam UMNO ini juga sudah lama berlaku, sehingga tertubuhnya PKR dan BERSATU, yang kini kebanyakan pemimpinnya adalah serpihan UMNO.
"Ia terpulang kepada UMNO dan saya tidak mahu campur urusan kepemimpinan mereka. Namun, persoalannya, adakah ia (tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin UMNO) wajar dibuat sekarang?" katanya kepada BH.
Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan parti itu kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain itu, MKT UMNO turut menggantung beberapa ahlinya, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, tindakan UMNO itu juga dikhuatiri menjejaskan peratusan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH), yang ketika ini adalah antara 10 peratus hingga 15 peratus.
Beliau yang juga EXCO Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Pulau Pinang, mengakui sokongan pengundi Melayu terhadap PH mencatatkan penurunan berbanding kepada Perikatan Nasional (PN), selain menyifatkan ia boleh berubah mengikut sentimen politik semasa.
Ditanya kewajaran UMNO bertindak demikian, Ramasamy berpendapat, kepemimpinan parti itu tidak mempunyai pilihan lain berikutan tindakan beberapa pemimpinnya yang dilihat seolah-olah cuba melakukan pemberontakan dalaman.
Beliau bagaimanapun mempersoal kewajaran UMNO hanya menggantung keahlian Hishammuddin berikutan Ahli Parlimen Sembrong itu dikatakan antara individu yang menggerakkan Langkah Sheraton dan mengumpul sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRU15.
"Khairy hanya mencabar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menyatakan pelbagai perkara lain, termasuk menggunakan undi hantu dan saya pun kurang pasti akan kesahihan dakwaannya itu.
"Namun, kesalahan Hishammuddin lebih besar berbanding Khairy sebab dia antara orang di belakang Langkah Sheraton, selain menyokong Muhyiddin. Dia orang PN dalam UMNO," katanya.
No comments
Post a Comment