NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BNM buat kejutan kekalkan OPR pada 2.75 peratus

Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.

Ia selepas kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Berikutan pengekalan itu, jajaran kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dikekalkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

Keputusan MPC mengekalkan penanda aras pinjaman itu adalah luar jangkaan susulan sebahagian besar penganalisis meramalkan kenaikan ke paras sebelum pandemik iaitu kenaikan 0.25 peratus lagi.

BNM dalam satu kenyataan berkata, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global berikutan dasar monetari yang semakin ketat secara lebih agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing serta gangguan ketara pada rantaian bekalan yang kembali wujud.

"Inflasi keseluruhan pada tempoh bulan Januari hingga November 2022 berpurata sebanyak 3.4 peratus. Seperti yang diunjurkan, inflasi keseluruhan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga tahun 2022, manakala purata inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, adalah sebanyak 2.9 peratus hingga bulan November 2022.

"Bagi keseluruhan tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka sederhana namun kekal pada tahap yang tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos yang berlarutan," katanya.

Bank pusat itu menjelaskan, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan COVID-19 di China.

Katanya, kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.

"Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Bagaimanapun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

"Bagi menguruskan tekanan inflasi, bank-bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah, meskipun pada kadar yang lebih perlahan. Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan.

"Namun begitu, pertumbuhan di China dijangka bertambah baik apabila gelombang semasa COVID-19 di negara itu reda," katanya.

BNM berkata, prospek terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, pertumbuhan sebenar di ekonomi utama yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara.

Katanya, data terkini di Malaysia menunjukkan bahawa ekonomi terus berkembang pada suku terakhir tahun 2022 disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

"Hasilnya, pertumbuhan tahun 2022 dijangka melebihi julat unjuran awal, iaitu 6.5 peratus hingga 7.0 peratus. Selepas mencatatkan prestasi yang kukuh pada 2022, pertumbuhan pada tahun 2023 dijangka sederhana berikutan ekonomi global yang lebih perlahan.

"Pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri. Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.

"Ketibaan pelancong terus bertambah, lantas menggiatkan lagi sektor berkaitan pelancongan. Pelaksanaan projek infrastruktur berbilang tahun akan menyokong aktiviti pelaburan," katanya.

Sementara itu, BNM berkata kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi akan terus membendung sebahagian daripada tahap tekanan inflasi yang meningkat.

"Imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global.

"Keputusan OPR ini membolehkan MPC menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa dasar monetari terhadap ekonomi.

"Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

"MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo