KOTA TINGGI: Hujan lebat sejak tengah malam tadi menyebabkan keseluruhan kawasan Jalan Balau, Taman Desaru Utama, di sini dilanda banjir, hanya sebulan selepas menghadapi bencana sama.
Banjir terbaharu disifatkan antara yang terburuk oleh penduduk kerana air naik hingga paras pinggang, berbanding kejadian sebelum ini.
Penduduk, Zainon Omar, 51, berkata banjir hari ini adalah yang ketiga menjejaskan kediamannya sejak menetap di taman berkenaan.
"Kali pertama kawasan ini banjir pada 2021 dan kedua pada bulan lalu. Baru sebulan kami hadapi bencana ini, hari ini sekali lagi kami diuji. Ketika banjir Disember lalu, saya kerugian kira-kira RM3,000 kerana banyak perabot rosak.
"Kali ini saya dimaklumkan jiran-jiran, air naik sehingga paras pinggang. Sebelum ini paras betis sahaja," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, di sini.
Zainon yang tinggal di Jalan Balau 2, berkata dia terpaksa memapah ibu, Azizah Khamis, 76, dan bersama suami serta anak-anak meredah banjir selepas mendapati air mula memenuhi ruang parkir rumahnya.
"Saya sudah mula bekerja hari ini, tetapi pada masa sama sentiasa tanya perkembangan di rumah dengan anak-anak. Kira-kira jam 12 tengah hari tadi, anak memaklumkan air sudah mulai naik di hadapan rumah.
"Saya terus bergegas pulang untuk selamatkan ibu serta dokumen penting keluarga dan kemudian segera berpindah ke PPS kerana memikirkan keadaan ibu yang uzur. Saya memang tak bawa apa-apa pakaian kerana sangka banjir ini sekejap sahaja.
"Namun, kami dimaklumkan bahawa petang ini berlaku air pasang besar selain cuaca masih hujan," katanya.
Tinjauan di sekitar Taman Desaru Utama mendapati jalan-jalan akses ke kediaman di kawasan berkenaan dinaiki air sehingga menghalang laluan bagi semua jenis kenderaan.
Seorang lagi penduduk, Md Johari Dol, 67, berkata kawasan perumahan itu mula dinaiki air pada jam 7 pagi tadi susulan hujan lebat, namun mulai surut pada jam 9 pagi apabila hujan berhenti sebelum naik kembali kerana hujan tiba-tiba kembali lebat.
"Kira-kira jam 11 pagi, air sudah mula masuk ke dalam rumah, sangat deras dan dalam tempoh dua jam sahaja, air memenuhi rumah," katanya yang menaiki kenderaan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS.
No comments
Post a Comment