NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azizulhasni kongsi kenangan nyawa hampiri ‘sakaratul maut’

PETALING JAYA – Detik-detik tidak dapat bernafas selepas menjalani pembedahan, adalah pengalaman tidak boleh dilupakan jaguh berbasikal negara, Datuk Mohamad Azizulhasni Awang sekali gus disifatkan pengalaman menghampiri kematian yang amat menakutkan dalam hidupnya.

Berkongsi cerita pada hantaran Facebook, beliau mengimbas dua kali pengalaman menghampiri kematian susulan masalah jantung (Congenital Heart Disease) yang jarang ditemui dihadapinya sejak lahir, dengan salah satunya disifatkan amat menakutkan.

“Kali kedua saya menghampiri kematian adalah amat menakutkan. Selepas pembedahan berjalan lancar (syukur alhamdulillah), saya dimasukkan ke wad Cardiac Care Unit (CCU) iaitu seperti wad unit rawatan rapi (ICU), tetapi untuk pesakit jantung. Di situ rata-rata semua tidak sedarkan diri termasuklah saya.

“Sampai satu ketika, saya sudah mendapat kembali deria pendengaran. Saya dapat mendengar secara sipi-sipi riuh rendah suara manusia dan paling jelas bunyi ‘beep, beep, beep’ daripada mesin ‘electrocardiogram’ (EKG). Tidak lama selepas itu, bunyi riuh rendah tidak kedengaran dan hanya bunyi ‘beep’ itu saja masih memecah kesunyian,” katanya pada hantaran itu.

Meneruskan cerita, Mohamad Azizulhasni berkata, beliau seperti sudah mendapat sensori untuk membuka mata, tetapi masih berasa sedikit berat dan memilih untuk kekal memejamkan mata sebelum merasakan sesuatu berada di dalam tekak dan mulut sehingga membataskan pernafasan.

Beliau kemudian berasa seperti ditampar kuat dan matanya terus terbuka, namun merasakan seluruh tekak dan mulut dihalang sesuatu untuk mendapatkan oksigen.

“Saya nyawa-nyawa ikan, cuba melawan seboleh mungkin untuk kekal hidup. Keadaan ketika itu tidak jauh seperti seseorang yang tidak pandai berenang kelemasan di tengah-tengah lautan dalam. Terlintas dikepala, adalah ini yang dipanggil sakaratul maut? Adakah saya sedang berhadapan dengan saat terakhir kematian? Ya Allah ampunilah segala dosa-dosaku dan matikanlah aku di dalam iman.

“Berpantang ajal sebelum mati, di saat genting itu, tangan saya meraba-raba sekitar katil dan dapat dicapai sesuatu benda. Saya pegang erat benda kecil itu yang mana ianya adalah ‘remote control’ mempunyai butang kecemasan dan butang untuk memanggil jururawat jika memerlukan bantuan. Tidak pula saya terfikir semua itu dan tidak pula saya tahu benda tersebut ada di sebelah saya,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan nada sedikit cemas, doktor memintanya menarik nafas dalam-dalam serta melepaskannya segera biarpun ketika itu beliau merasakan sudah tiada pernafasan, malah bunyinya seperti lembu disembelih.

Beliau tidak dapat menggambarkan perasaanya pada ketika itu kerana ia berlaku dengan pantas dan emosinya bercampur aduk iaitu takut, sedih, gembira, bersyukur selain merasakan bertaubat dan beriman.

“Saya pantau keadaan sekeliling, gelap, sunyi dan sedikit sejuk. Bunyi ‘beep’ kembali mendominasi kesunyian. Saya menunduk melihat dada yang berasa amat kesakitan, penuh dengan wayar-wayar dan tiub keluar masuk, seperti seorang ‘cyborg’, saya mendongak pula dan melihat jam menunjukkan pukul 5 pagi.

“Ada jururawat datang melawat dan memeriksa keadaan saya, ‘You’re doing really well just now, really well, well done Azizul’ ujarnya. Saya hanya mampu mengukir sebuah senyuman kecil. Dalam keadaan yang tersangat lemah itu, saya memohon beliau mengambil gambar saya kerana bagi saya ini akan menjadi salah satu sejarah dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo