JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen, Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim terus menggunakan puisi sebagai platform mengkritik serta menyindir politik tanah air termasuk Kerajaan Perpaduan.
Terbaharu menerusi puisi bertajuk 'Demi Daulah Ini', Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor itu dipercayai menyindir kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam, yang mengulas tindakannya sering menegur Kerajaan Perpaduan secara puitis dan tersirat.
Hassan menerusi puisi terbaharu itu menyindir kenyataan Ahmad Shabery yang menyifatkan 'kritikan' beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai virus.
Menerusi rangkap pertama puisi Hassan, '...atas nama kestabilan jangan digoncang perahu ini jangan, jangan, nanti karam semua' Hassan dipercayai, menyindir kenyataan Ahmad Shabery yang menyatakan tindakan mengkritik Kerajaan Perpaduan secara berterusan akan memberi kesan kepada kestabilan kerajaan.
Beliau dilaporkan berkata, ia boleh memendekkan jangka hayat kerajaan seperti dihadapi PH selama 22 bulan sebelum ini.
Ahmad Shabery sebelum ini dilaporkan menunjukkan rasa simpati terhadap dilema dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kritikan terbuka Hassan membabitkan kes mahkamah dihadapi Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau menyifatkan kerajaan ketika ini dibina menggunakan jambatan sementara daripada besi dan berdepan risiko runtuh.
Menerusi puisi itu, Hassan secara sinis turut menyentuh sikap 'talam dua muka' segelintir pemimpin yang sanggup memekakkan telinga walaupun tahu kesalahan berlaku demi mempertahankan jawatan yang baharu diperoleh.
Demi Daulah Ini
Atas nama kestabilan
Jangan digoncang perahu ini
Jangan, jangan
Nanti karam semua
Ingat ya,
Jambatan kamu
Bukan Jambatan konkrit
Ingat itu
Lalu, diam semua kamu
Sebaiknya
Jangan lagi
Jangan lagi bicara hal-hal rasuah
Jangan, jangan
Jangan diungkit-ungkit
Ketirisan itu
Kebocoran ini
Jangan
Jangan disebut lagi
Kes itu
Kes ini
Perkataan-perkataan kluster dan Mahkamah
Semua itu, sensitif waktu kini
Membisulah kamu sebaiknya Saudara
Jangan
Jangan bising-bising lagi
Nanti karam perahu ini
Nanti tercabut skrew-skrew
Jambatan bailey ini
Ini petua dariku Saudara
Membisu itu baik di kala ini
Ya, membisu itu Pilihan terbaik kini
Jangan
Jangan kamu terlalu idealis Saudara
Pragmatislah sedikit
Opoligislah sedikit
Kita kan terpaksa segalanya
Hidup lemas dalam dilemma ini?
Ya, terimalah hakikat Saudara
Timbulnya kamu
Tenggelamnya aku
Kan kita kembar siam?
Jangan
Jangan digoncang perahu ini
Nanti kita semua karam
Lemas dan tenggelam
Option kita Saudara
Hanya Satu atau Dua saja
Pekakkan telingamu
Buat-buat tidak dengar
Mereka memunggah harta Negara
Jangan,
Jangan Saudara
Jangan buka matamu
Buat-buat buta Saudara
Pura-puralah tak kelihatan
Mereka melarikan kekayaan ke Virgin Island
Nah, ini saja Pilihan yang ada
Untuk Selamat bernyawa
Ayuh, matikan segera nuranimu
Kita korbankan segalanya
Demi kestabilan Daulah Ini
Hassan Abdul Karim
Jumaat 20 Januari 2023
Pasir Gudang
No comments
Post a Comment