Asyraf Wajdi (kiri) ketika Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur. - BERNAMA
KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyatakan pendiriannya untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO akan datang.
Perkara itu dimaklumkan beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini, bagi membolehkan nakhoda baharu memimpin sayap parti itu.
"Sebenarnya saya boleh menyatakan secara berterus-terang, saya mengambil tanggungjawab, saya mohon maaf atas kekhilafan dan kesalahan saya dan kegagalan saya memimpin anda semua.
"Saya sudah cuba yang terbaik, saya sudah cuba untuk memastikan kita bangkit kembali.
"Saya meletakkan sepenuh pengorbanan jiwa raga saya kepada Pemuda UMNO. Sebab itulah, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi mempertahankan jawatan selaku Ketua Pemuda UMNO (dalam pemilihan parti nanti)," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan sayap terbabit dapat merencana langkah baharu dengan idea baharu, untuk bangkit selepas parti tewas dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU).
"Saya mengambil tanggungjawab ini untuk kita pastikan bahtera kita akan kembali kuat dan dinakhodai oleh orang baharu yang boleh membawa idea segar dan baharu.
"Tetapi satu perkara yang saya minta, tolonglah... kita adalah Pemuda yang sama-sama menyaksikan dan merasai susah payah dalam perjuangan kita.
"Saya selalu sebutkan, kita adalah generasi Pemuda yang unik. Kita tak pernah bandingkan generasi kita dengan mana-mana generasi. Tiada sesiapa pun yang pernah melalui zaman jadi pembangkang 22 bulan, zaman jadi kerajaan campuran dan hari ini masih menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan. Ini satu pengalaman yang unik," katanya.
Pada pemilihan UMNO 2018, Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menang jawatan berkenaan selepas mengalahkan tiga lagi pencabar jawatan itu iaitu Datuk Khairul Azwan Harun, Datuk Shahar Abdullah dan Datuk Seri Jamal Yunus.
No comments
Post a Comment