Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan pada awalnya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memiliki majoriti untuk dilantik menjadi Perdana Menteri (PM) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Media melaporkan Presiden UMNO itu membuat pengakuan tersebut semasa taklimat khas tertutup menjelang Perhimpunan Agung parti itu dengan menamakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menandatangani surat akuan berkanun (SD) menyokong Muhyiddin.
Portal Berita Harian mendakwa 10 SD tersebut didedahkan Zahid sendiri semasa taklimat tersebut, malah menuduh terdapat cubaan untuk menjatuhkannya sebagai Pengerusi BN.
“Ahli Parlimen ini adalah mereka yang menyokong Muhyiddin ketika kemelut pembentukan kerajaan tercetus selepas PRU-15 lalu.
“Nama Ahli Parlimen BN yang dirujuk Zahid itu pula bukan sepenuhnya daripada UMNO, sebaliknya sebahagian mereka mewakili parti komponen BN lain.
“Mereka diminta untuk membatalkan SD ditandatangani (untuk menyokong Muhyiddin) dan semuanya akur dengan arahan itu kerana parti tidak membuat sebarang keputusan untuk menyokong sama ada PN (Perikatan Nasional) atau PH (Pakatan Harapan) ketika itu,” menurut laporan BH yang memetik sumber.
Untuk rekod, Zahid selepas PRU-15 lalu mengumumkan pendirian UMNO untuk bekerjasama dengan PH dan DAP bagi membentuk kerajaan campuran yang menyaksikan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM Ke-10.
Anwar juga sebelum ini mengakui pada pusingan awal pemilihan bakal PM-10 lalu tidak memiliki majoriti sehinggalah kemudiaannya mendapat sokongan anak muridnya itu.
“Berapa pun jumlah diperolehi, itu telah ditetapkan waktunya. Seperti mana dalam perlumbaan, dia boleh potong pusingan pertama, kita potong di pusingan ketiga, tetapi yang penting garis penamat.
“Apabila di garis penamat, saya perolehi jumlah terbesar… kerana orang beri pengakuan (Akuan Bersumpah) sebelumnya telah menarik balik (sokongan) sebelum tempoh 2 petang,” kata pada 11 Disember lalu, dua minggu selepas dilantik menjadi PM dalam satu program di Kompleks Seri Perdana.
Sekiranya laporan media ini benar, ia secara tidak langsung menunjukkan Muhyiddin sebelum ini berkata benar berhubung jumlah SD dimilikinya dan layak untuk dilantik sebagai PM-10.
Sementara itu, laporan NST pula mendakwa beberapa pemimpin utama UMNO tidak kelihatan menghadiri taklimat dengan Zahid hari ini, antaranya Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ketiadaan mereka tidak disedari oleh petugas media yang membuat liputan perhimpunan empat hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bermula hari ini.
- agendaily.com
No comments
Post a Comment