NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Undi Melayu BN merosot kini BN hilang taring


PETALING JAYA:
PAS berkata, Barisan Nasional (BN) yang dahulunya dominan sudah “hilang taring” susulan sokongan majoriti pengundi Melayu terhadap gabungan itu yang semakin merosot sejak tiga pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya, BN hanya mampu meraih 33% undi Melayu pada PRU15 berbanding 62% pada PRU13 dan 43% pada PRU14.

“Bukti apa lagi yang BN mahu lihat betapa perjuangan mereka hari ini tidak ada tempat di hati rakyat, terutama orang Melayu.

“BN sudah hilang taring mereka yang mungkin sudah sekian lama tumpul kerana masalah moral pimpinan dan hala tuju perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan.

Parti itu berkata, wujud gelombang “tsunami” undi Melayu untuk Perikatan Nasional (PN) yang meraih 54% undi golongan itu berbanding 11% undi yang diperolehi Pakatan Harapan (PH).

Katanya, BN sepatutnya menggunakan keputusan PRU15, di mana ia memenangi 30 daripada 221 kerusi Parlimen, untuk bermuhasabah dan memperbaiki gabungan itu.

Ia turut mendakwa BN semakin “mabuk kuasa” dan pentingkan diri.

“Rakyat tidak akan menghinakan diri bersama pimpinan dan parti penuh keladak yang hidup segan, mati tak mahu ini.

“Jika Umno dan BN tetap tidak berubah, BN hanya mampu menjadi laksana melukut di tepi gantang PH. Masuk tak penuh, keluar tak kurang.”

PRU15 pada bulan lalu berakhir dengan Parlimen tergantung buat julung kali dalam sejarah negara, dengan PH memenangi 82 kerusi dan PN menguasai 73 kerusi.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PH dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan gabungan itu.

Selepas mesyuarat dengan Majlis Raja-raja, Agong melantik Pengerusi PH, Anwar Ibrahim untuk mengetuai kerajaan perpaduan yang disertai BN, Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak.

Ia turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan dua wakil rakyat bebas – yang menurut Anwar memberi kerajaan pimpinannya majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo