NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO terpesona penampilan DAP

UMNO TERPESONA PENAMPILAN DAP

Umno mengambarkan DAP sudah berubah, sudah tidak lawan Islam, sudah tidak lawan melayu, sudah tidak ada agenda komunis, sudah ada ketaatan kepada Raja Melayu, segalanya baik baik belaka. Tiada apa yang nak dicurigakan lagi terhadap DAP sekarang ini. 

Kalau terpaksa undang DAP sebagai tetamu VVIP di Perhimpunan Agung Umno kali ini pun, mungkin surat setiausaha Agung umno akan terbang ke Pejabat Agung DAP tidak lama lagi. Janji umno mampu yakinkan ahli-ahli akar umbi mereka, PH adalah rakan perjuangan sebenarnya seperti mana ucapan Presiden Umno ketika kempen PRU Padang Serai.

Akan disediakan busana lengkap buat tetamu istimewanya nanti, saat meraikan tetamu dinanti-nanti penuh keterujaan, ini kerana penampilan DAP yang tiba-tiba berubah selepas PRU-15. Lebih ketara ketika PRU di DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai. Sehari selepas PRU, umno Perak memulakan langkah sebagai permulaan umno bersama DAP.

Kemudiannya Pahang, terpesona kerana DAP tidak mengenakan apa-apa syarat kerjasama untuk tubuh kerajaan umno- DAP. Dinamikanya DAP dikaca mata Umno waktu ini. Sedikitpun tidak menoleh ke arah lapis-lapis kerosakan dan kemusnahan, hanya molek, cantik dan baik-baik belaka. 

Cinta keterpaksaan kian menusuk jiwa, tiada siapa yang boleh halang, tiada siapa yang boleh menegah, akan direnangi lautan api, akan diredah lautan gelombang,  semuanya demi satu kerjasama politik perjuangan umno, bangsanya, agamanya dan raja melayu.

Ucapan puji memujali kian bertali arus, DAP adalah rakan baik, rakan setia, rakan sehidup semati orang melayu umno kita. Buang yang keruh, ambil yang jernih, raikankan pergorbanan DAP selama ini, kita silap selama ini, kita salah bina persepsi terhadap DAP, tinggal lagi, atau kita tunggulah pemuda UMNO atau Asraf Wajidi nyayikan lagu 'Terima Kasih DAP..Terima Kasih DAP..Terima Kasih DAP...

Seperti petikan dari coretan 'Minda Presiden PAS'  "Kini, DAP yang dikatakan kononnya sudah berubah sedang disanjung, walaupun ideologi dan pendekatannya secara terang-terangan bersikap anti-Islam. Hal ini demikian kerana, mereka berdiam diri tanpa mengubah dasar partinya, bersama parti-parti yang bersekongkol dengannya".

Jelas sekali apa yang sedang berlaku dalam hari ini. Namun kita yakin ianya hanyalah tindakan terdesak segelintir pimpinan utama umno sahaja, umum mengetahui dilema besar yang dihadapi Presiden umno sekarang ini. Perjuangan hidup dan mati Zahid untuk hadapi hari mendatang yang berisiko.

Sama sekali dia sebolehnya tidak mahu mengikuti bekas Presiden umno yang dipenjarakan sekarang ini. Zahid tidak mahu keputusan mahkamah yang sedang menghantui isteri bekas Perdana Menteri ketika ini. Satu hambatan iringan seharian yang menyiksakan jiwa. Menanti saat diseret ke tirai besi.

Tinggal lagi apakah semua tindakan ini diterima oleh akar umbi? Apakah mereka seia senada dengan tindakan Zahid, apakah mereka boleh menerima DAP dipersekitaran hidup mereka, apakah mereka boleh lenyapkan sekelip mana kacau ganggu DAP terhadap Islam, orang melayu dan raja -raja melayu sebelum ini.

Terpenjaranya Najib Razak atas faktor apa? Siapa yang memainkan isu 1MDB dan penyelewengan besar sebelum ini sehingga dibuka siasatan dan pendakwaan. Siapa pula merencanakan kegilaan Rosmah Mansor membaham jutaan duit rakyat?

Siapa pula mendedahkan isu skandal penyelewengan rasuah dan salahguna kuasa Zahid Hamidi? Semua ini sedang bermain di kotak pikiran ahli dan penyokong umno di seluruh peringkat. Orang yang mencetuskan gelombang isu-isu itu semua bersama-sama sekarang ini dalam pasukan kerajaan campuran ini. 

Apakah semua ini boleh dilenyapkan begitu sahaja dengan susunan kata-kata pujian, madah madah pujangga, pelukan-pelukan dan salaman retorik di khalayak ramai atau di pentas-pentas acara sahaja? Penulis yakin akar umbi umno tidak mudah didoktrin jiwa dan pemikiran mereka untuk menerima DAP sebagai pejuang Melayu, pejuang Islam dan DAP pejuang mempertahankan Raja-Raja Melayu.

Peribahasa orang melayu "Air Yang Tenang Jangan Disangka Tiada Buaya" pepatah ini harus diambil cakna semula, kita juga kena ingat peribahasa "Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air... Jangan pula umno menjadi seperti peribahasa ini "Bagai kaca terhempas di batu...

Ambillah peribahasa ini untuk dihadam dan bincangkan di akar umbi umno yang sangat setia di kampung-kampung, " Bara yang digenggam biar sampai jadi abu". Janganlah tindakan Zahid itu seperti "Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua", "Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran".

●Naraza Muda | Rabu| 14 Disember 2022

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo