NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO hadapi krisis kepercayaan terburuk, PAS muncul parti kepercayaan melayu terbesar

PAS PARTI MELAYU TERBESAR SEKARANG
❄️❄️❄️❄️❄️❄️❄️
UMNO DILANDA KRISIS KEPERCAYAAN TERBURUK

1.Fakta yang tidak dapat disangkal sesiapa, PAS kini sudah menjadi pilihan no.1 pengundi Melayu di Malaysia. PAS memperoleh 43 kerusi, hampir dua kali ganda meninggalkan UMNO. Secara tidak langsung, paradigma politik tanahair telah menganjak. UMNO sudah hilang kepercayaan orang Melayu. Belum pernah dalam sejarah, UMNO cuma mendapat 12% kerusi parlimen.

2.Menurut analisis yang dikeluarkan oleh Bridget Welsh, PAS bersama PN mendapat undi majoriti Melayu dengan 54%. BN sekadar 33% dan PH 11%. Jika analisis ini tepat, ia sudah cukup untuk menggambarkan bagaimana aspirasi orang Melayu sekarang.

3.Sebelum PRU15, ada suara yang bimbang kalau PAS terus bersama Bersatu dan tidak bersama UMNO, kuasa Melayu akan pecah lebih teruk kerana parti Melayu makin bertambah (PAS-UMNO-PPBM-PKR-PAN-PEJUANG).

4.Hakikat menunjukkan sebaliknya. Sokongan Melayu menjadi semakin berpusat. Lebih berpusat berbanding PRU14 lalu. Perkara ini mungkin tidak akan berlaku kalau PAS bersama UMNO.

5.Post-mortem PRU14 yang lalu, PAS menerima tempias kleptokrasi BN kerana keintiman keduanya. Pengundi Melayu tidak ada pilihan untuk menolak kleptokrat selain mengundi PH.
6.Keadaan tersebut berbeza pada PRU15. PAS bukan sekadar tidak bersama UMNO yang masih dipimpin kluster mahkamah, malah bersama PPBM, sebuah parti bekas ahli UMNO yang menolak pemimpin kleptokrat. Orang Melayu punya wadah baharu.

7.Mengkritik PAS meninggalkan penyatuan ummah hanya kerana tidak bersama UMNO adalah kritikan lemah. Seteru antara PAS dan UMNO sudah berlaku sejak merdeka lagi. Menuduh PAS menyemarakkan perpecahan Melayu dengan bersama PPBM juga adalah tuduhan tak berasas. Sejak dulu PAS sentiasa membuka pintu kepada parti serpihan UMNO. 

8.Kerjasama PAS dengan mana-mana parti sentiasa berpandukan prinsip. Prinsip PAS bukan sekadar atas nama kaum, tetapi kerana tuntutan syarak. Membela kaum memang terdapat dalam ajaran Islam. Tetapi tidaklah membela kaum itu sampai tahap menghalalkan kleptokrasi.

9.Bayangkan kalau PAS bergabung dengan BN pada PRU15 ini. Bukan sekadar kebencian rakyat terhadap Zahid Hamidi akan menghukum PAS, malah memberi peluang kepada PH menambah kerusi.

10.Lebih parah bila Zahid Hamidi bawa BN sokong PH lepas berpakar dengan PAS. Sudah tentu akan ada kerusi PAS yang ikut hanyut bersama BN seperti yang sering berlaku sebelum ini.

11.UMNO kini dilanda krisis kepercayaan yang amat dahsyat. PPBM sebagai parti serpihan UMNO sendiri beroleh kerusi lebih besar dari UMNO. Keputusan Zahid Hamidi untuk bersama Anwar dan DAP tambah mengecewakan hati akar umbi Melayu.

12.Bukan setakat orang UMNO, malah 11% orang Melayu yang bersama PH juga semakin curiga dengan langkah Anwar menamakan Zahid sebagai TPM. Baru mereka rasa tertipu, walaupun sudah boleh dibaca jelas bila Anwar dan Zahid tak saling menyerang waktu kempen PRU15 lagi.

13.Undi popular orang Melayu kini bersama PAS-PN. Sehingga kini, tidak ada sebab untuk mereka beralih sokongan. Sebaliknya, ia mungkin bakal bertambah dengan kekecewaan terbaru sebilangan penyokong BN dan PH. Kita tengok keputusan Tioman dan Padang Serai nanti.

14.Yakinlah ijtihad politik kali ini besar hikmahnya kepada PAS. Sangat tepat dengan atmosfera undi18+. MP PAS yang terlantik kali ini menampilkan lebih ramai muka baru dan muda. Memberi peluang kepada PAS membuktikan mereka boleh menjadi legasi harapan orang Islam tanahair.

15.Soal tidak dapat memerintah pusat, ia tidak perlu dilihat sebagai kegagalan kerana kejayaan yang tuhan kurniakan sudah tersangat berharga sekarang. Percayalah tuhan sedang mempersiapkan PAS untuk kemenangan yang lebih bermakna sedikit masa lagi.

16. Terima kasih buat semua pengundi PAS-PN terutama anak muda. Kalian memang superb. Teruskan istiqamah, dan terus ajak adik-adik yang bakal menjadi pengundi kelak untuk bersama parti masa depan negara ini!

(Alang Ibn Shukrimun)
10 Jumadal Ula 1443
4 Disember 2022

Artikel lain di Telegram: https://t.me/alangibnshukrimun

#AiS
#AiSSiasah

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo