NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno conteng piagam Muafakat Nasional


TSUNAMI luar biasa pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuktikan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bukan lagi parti biasa-biasa. 

Sebelum ini PAS sering digelar sebagai ‘parti pak lebai’, ekstrem dan tidak pandai memerintah. PRU-15 bagaimanapun membuktikan pandangan itu meleset.

Bukan lagi sekadar berupaya mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah, sebaliknya sudah menjalar ke Perlis. Bagi menjengok lebih dekat perkembangan yang berlaku itu ikuti temu bual Wartawan HarakahDaily, NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF bersama Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin di Kompleks PAS Perlis baru-baru ini.

HARAKAHDAILY: Sekarang ini dilihat seperti era kebangkitan semula PAS, jika dahulu orang tidak pandang pun PAS, namun sekarang sudah dibuktikan berjaya mentadbir empat negeri di mana terbaharu Perlis. Apa pandangan Tuan Guru mengenai situasi itu?

Tuan Guru Hashim: Yang pertama selepas PRU-15 kita rasa banyak kejutan yang berlaku dalam politik di negara kita, sebagai contoh di Perlis terutamanya. Kedah, Kelantan dan Terengganu PAS menyapu bersih semua kerusi yang ada. 

Kemenangan di Perlis, saya sendiri pun terkejut apabila kita dapat menang 14 daripada 15 kerusi. Satu kejayaan yang tidak pernah kita jangka kerana sebelum ini kita hanya menyasarkan paling maksimum lapan kerusi sahaja bagi membolehkan kita mentadbir kerajaan negeri.

Kita tidak jangka 14 kerusi, bagi saya kejayaan itu bukan bermula semasa pilihan raya tetapi sudah bermula sejak daripada penubuhan PAS lagi, kerana dasar perjuangan kita ialah Islam.

Islam itu sendiri bersifat suci dan bersih kita pegang sungguh dasar itu. Akhirnya natijah itu kita dapat dalam pilihan raya baru-baru ini.

Sebelum itu pun kita pegang dasar yang sama, tetapi kita belum beroleh kejayaan, kita pernah tidak menang langsung, paling banyak kita menang tahun 1999, tiga daripada 15 kerusi. Lepas itu turun dua, turun satu, kemudian naik semula dua Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kali ini kita jangka banyak boleh menang paling banyak lapan kerusi.

Alhamdulillah, syukur kejayaan ini selain daripada usaha yang kita buat dan istiqamah kita dalam perjuangan sebenarnya kita telah mendapat pertolongan dari Allah. Kalau Allah tidak tolong kita tidak akan dapat. Pertolongan Allah akan datang bila kita menolong Allah.

Apa yang kita buat sedikit sebanyak usaha mendekati masyarakt dengan Allah. Misalnya kita buka Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), jika difikirkan logik, mereka bukannya boleh mengundi tetapi usaha mendekatkan diri anak-anak dengan Islam seperti diajarkan bacaan ayat lazim dan cara sembahyang.

Di samping itu, kita juga buka sekolah rendah dan menengah yang dimulakan dengan solat Dhuha kemudian solat Zohor dan Asar berjemaah. Pelajar-pelajar yang belum matang ini kita dekatkan mereka dengan Allah menerusi solat Dhuha, Zohor dan Asar berjemaah, tinggal lagi tiga waktu sahaja kita serah semula kepada keluarga mereka.

Sambutan yang diterima cukup baik dan masyarakat boleh nampak kejayaan kita.

Begitu juga usaha awalan yang dilakukan termasuk kelas-kelas pengajian agama di markas, surau dan sebagainya. Semua inilah yang membantu untuk melayakkan kita mendapat pertolongan dari Allah.

Adakah Dato’ Seri Shahidan Kassim juga menjadi penyumbang kemenangan besar PAS dan PN? 

Itu lagi satu, kenapa beliau menyebelahi kita, siapa yang ubah hati dia, dahlu kita ajak dia berkawan tetapi beliau tidak mahu, saya pernah beberapa kali kalah dengan beliau dalam PRU.

Kawan baik tapi berlawan, sekarang dia datang menyerah diri bersama dengan kita. Persoalannya apa yang kita bagi kat dia? Kita tidak beri apa-apa kepadanya, Allah jualah yang membuka hatinya untuk memilih kita untuk bersama pada hal dia boleh nak bertanding solo atau berlawan atas tiket Umno, kerana beliau mempunyai kemampuan dan kewangan yang cukup. 

Tetapi tidak, dia memilih kita, jangan kata kita pergi pujuk dia, Allah yang membuka pintu hati dia untuk bersama dengan kita.

Kuasa Allah yang membantu kita mencapai apa yang kita dapat pada hari ini. Saya nak ingatkan pimpinan yang jadi wakil rakyat jangan sesekali kita sombong dengan Allah. Mesti banyak bergantung kepad Allah.

Apa yang kita dapat semuanya atas kehendak Allah. Saya nampak terutamanya orang Perlis, ADUN dan anggota Exco saya nasihati contohi Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau sebelum duduk di kerusi Menteri Besar, beliau sembahyang dua rakaat setiap hari sebelum memulakan tugas. 

Amalan ini hanya lima minit sahaja sudah boleh selesai menandakan kita ada kuasa tetapi Allah mahu kita tidak lupa kepadaNya dengan kita bersujud kepadaNya terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu kerja.

Keberkatan daripada amalan itulah sampai sekarang 32 tahun kita dapat memerintah. Justeru saya memesan kepada wakil rakyat yang menang agar mengamalkan perkara tersebut.

Jangan kita termasuk dalam golongan orang yang dikurniakan nikmat kuasa sebab Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda ”Aku tidak bimbang jika kamu miskin tetapi aku bimbang apabila Allah beri nikmat yang banyak, kamu akan berebut dunia maka Allah akan hancurkan kamu seperti Allah hancurkan kamu seperti kaum terdahulu kerana mereka mengejar dunia.” 

Sebab itu saya pesan, sebelum jadi calon kita tiada apa, sebab kebanyakan calon PAS ini orang miskin, kemudian lepas dapat nikmat kemenangan maka jangan gelojoh untuk mahu tunjukkan kemampuan dan kebendaan. 

Contoh seperti tukar kereta, tunggu dahalu bukan tak boleh tetapi jangan gelojoh dan perkara penting kita wajib bersama rakyat.

Masing-masing perlu kaji kenapa rakyat menolak Umno secara total di Perlis, lalu perkara yang tidak disukai rakyat semasa pemerintahan Umno kita jangan buat.

Contohnya seperti wakil rakyat tidak masuk kampung, tidak mendekati rakyat kita jangan buat begitu. Sakit demam, hidup mati, kenduri kendara rakyat kita perlu terlibat untuk kita menangi hati rakyat. 

Kelantan dapat bertahan hingga kini dalam keadaan Kelantan negeri pembangkang yang kurang peruntukan Pusat, namun dapat bertahan bahkan negeri-negeri lain menjadikan negeri itu sebagai negeri contoh.

Tuan Guru buat sesuatu bukan untuk diri beliau sendiri, bukan untuk keluarga tetapi untuk rakyat dan semua kaum. Misalnya beliau buat majlis buka puasa, puasa kewajiban agama kita tetapi untuk majlis berbuka puasa beliau panggil semua kaum termasuk orang Cina, Siam dan Hindu untuk duduk bersama.

Kerajaan Pusat sekarang dikuasai Pakatan Harapan (PH), ini bermakna Perlis menjadi negeri pembangkang. Mungkinkah kita akan menerima nasib yang sama dengan negeri pembangkang yang lain? 

Perkara ini saya tidak terlalu bimbang sangat kerana jika mereka zalim, kita ada perlembagaan, ada undang-undang jadi memang mereka wajib menunaikan kewajipan mereka sebagai kerajaan pusat.

Jika mereka melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh pemerintah sebelum ini, rakyat pasti akan menilai dan tidak sampai lima tahun mereka pasti akan jatuh.

PAS sudah menawan empat negeri, tidak mustahil satu hari nanti PAS akan jadi kerajaan Persekutuan?

Ya perkara ini bukanlah suatu yang mustahil. Jika sebelum ini kita bermusuh dengan Umno sehingga kesan tersebut kesannya melekat kepada penduduk kampung, tetapi selepas kita menjalin kerjasama dengan Umno sehingga melahirkan piagam Muafakat Nasional, orang Umno dan PAS sudah dapat berbaik semula.

Namun mereka sekali lagi menconteng onar, selepas PRU-15 Umno lebih memilih untuk berkawan dengan PH berbanding Perikatan Nasional (PN). Seperti yang berlaku di Perak dan Pahang.

Namun begitu semua ada hikmahnya, sekarang Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut berbondong-bondong menerima ahli baharu. Perkara ini pernah berlaku ketika PAS berpisah dengan DAP, dalam sebulan kita menerima 18,000 ahli baharu.

Kita lihat sekarang anak muda rata-rata menyokong PAS dan PN, apa pandangan Tuan Guru?

Bagi saya mudah saja, Allah sudah menggerakkan hati mereka untuk menyokong PAS. Justeru pemuda wajar mengambil peluang ini dengan membanyakkan aktiviti kepemudaan.

Nasihat Tuan Guru kepada wakil rakyat PAS dan PN?

Dasar umum pemerintahan kita sudah bincang lama jadi sekarang ini waktu untuk kita mempraktikkan apa yang sudah dibincangkan. Jika kita berbuat baik dengan binatang pun Allah kira, inikan pula jika bertindak adil dengan manusia semuanya.

Insya-Allah saya penuh yakin dan amat mengharapkan usaha yang suci ini tidak boleh dijelmakan dengan masa yang singkat, banyak lagi langkah yang perlu kita buat untuk berjaya di masa akan datang. – HARAKAHDAILY 2/12/2022



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo