NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno apa khabar?


Tidak memeranjatkan apabila Umno pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam 8 Dis lalu memecat Annuar Musa, bekas setiausaha agungnya. Malah dijangka berdasarkan “tingkah laku, tindak-tanduk” Annuar, orang Umno pro-Bersatu sejak sekian lama yang umum tahu. Lantas tidak perlu dihurai.

Turut dipecat ketua Wanita Arau dan ketua Wanita Maran. Kata ahli MKT Johan Abdul Aziz ketiga-tiga pemecatan tidak dipertikaikan semua ahli MKT. Mesyuarat dipengerusikan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi berjalan baik dalam situasi “harmoni”, kata Johan.

Tidaklah saya tahu sama ada beliau menjawab pertanyaan wartawan atau terpanggil dengan sendiri untuk memberitahu khalayak mesyuarat berlangsung dalam “keadaan harmoni” yang seakan menggambarkan ada pihak yang menuduh atau menganggap mesyuarat diadakan dalam keadaan sebaliknya.

Apa pun sebelum mesyuarat diadakan yakni pada tengah hari 8 Dis seorang lagi ahli MKT Puad Zarkashi berkata menerusi hantaran di Facebook, partinya mesti menjadi “pendorong semak dan imbang” kepada kerajaan walaupun ramai ahli MKT menjadi anggota Jemaah Menteri.

Mesyuarat MKT Khamis lalu ialah yang pertama sejak enam pemimpinnya dilantik menjadi menteri dalam Jemaah Menteri Anwar Ibrahim, satu pertemuan yang pada hemat saya amat penting untuk Umno mengkaji apa telah dilakukan sejak duduk dalam kerajaan dan merangka langkah seterusnya.

Namun, ada yang tidak hadir termasuk Ismail Sabri Yaakob, bekas perdana menteri yang juga naib presiden Umno. Bagaimanapun beliau dikatakan mempunyai sebab (yang diterima MKT) untuk tidak hadir.

Kata Puad, Umno mahu kerajaan antaranya menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas, RCI berhubung Tabung Haji serta segerakan pendakwaan terhadap hakim Mohd Nazlan Ghazali juga Zeti Akhtar Aziz di samping “perbicaraan yang adil untuk Najib Razak”.

Adakah itu bermakna Zahid didesak melaksanakan tuntutan demikian? Tidak dipastikan sama ada itu semua dibincangkan pada mesyuarat Khamis lalu. Bagaimanapun Rosmah Mansor, isteri Najib dilihat wartawan tiba di ibu pejabat Umno sebelum mesyuarat bermula.

Beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Difahamkan Rosmah datang untuk bertemu Zahid dan bukan menyertai mesyuarat MKT. Tidak ada informasi lanjut berhubung kehadirannya di ibu pejabat Umno malam itu.

Beberapa hari sebelum MKT bermesyuarat, setiausaha agung parti Ahmad Maslan mengumumkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadual hujung bulan ini ditangguh hingga awal tahun depan iaitu 11 hingga 14 Jan 2023.

Penangguhan itu, kata Ahmad kerana tarikh asal PAU iaitu 21 hingga 24 Dis “adalah waktu cuti sekolah dan ramai perwakilan ingin bercuti hujung tahun ke merata tempat”.

Tidak mahu saya persoalkan keputusan Umno. Cuma berasa pelik kerana PAU sebelum ini sering diadakan pada musim cuti sekolah. Perwakilan Umno luar Kuala Lumpur memanfaatkan keadaan dengan membawa keluarga mereka bercuti di ibu kota. Hanya perwakilan Kuala Lumpur tidak dapat bercuti di luar kota bersama keluarga waktu itu.

Tidak dinafikan Umno dalam kemelut. Ada kem presiden dan macam-macam kem. Pemecatan Annuar sekadar menunjukkan situasi Umno masa kini. Persoalannya adakah krisis serius atau tidak? Adakah penangguhan PAU untuk meredakan keadaan akibat kemelut dalaman termasuk keresahan sesetengah pihak dalam Umno berhubung pembabitan parti dalam kerajaan perpaduan?

Beberapa penganalisis politik “tidak yakin” PAU akan menjadi panas walaupun jika diadakan Disember ini. Begitu juga apabila ia dilangsungkan Januari depan.

Pun begitu pemilihan Umno mesti diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum diadakan. Ini mengikut perlembagaan parti yang dipinda beberapa bulan lalu. Ertinya mengambil kira tarikh PRU15 lalu pemilihan Umno mesti diadakan selewat-lewatnya Mei tahun depan. Persoalan yang kerap ditanya – adakah Zahid akan dicabar?

Dalam Umno ada kumpulan tertentu yang menyalahkan Zahid berikutan prestasi buruk parti pada PRU15 lalu. Kata mereka strategi Zahid silap dan salah. Tidak perlu saya huraikan apa strategi itu. Sekadar menegaskan Umno keseluruhannya (termasuk yang sekarang menyalahkan Zahid) bersetuju dan menyokong sebulat suara malah bersamanya memaksa PRU15 diadakan segera tanpa mengambil kira segala macam masalah termasuk keadaan cuaca.

Bagaimanapun, jika ditanya sebaik saja PRU15 selesai adakah Zahid akan dicabar pada pemilihan parti tahun depan, jawapannya tentunya ya. Apatah lagi ada pihak luar Umno yang mendakwa kononnya si anu dan si polan dalam Umno sedang merancang menjatuhkan Zahid.

Tetapi kemungkinan Zahid dicabar sekarang agak samar selepas beliau dilantik timbalan perdana menteri serta memegang portfolio menteri kemajuan desa dan wilayah. Jawatan TPM diiringi kuasa. Selaku menteri kemajuan desa dan wilayah pula akan membolehkan Zahid membawa pelbagai projek ke kawasan majoriti Melayu dalam usaha mengembalikan sokongan masyarakat Melayu khususnya luar bandar kepada Umno. Di samping memperkukuhkan “pangkalan sendiri”.

“Kabinet telah dibentuk dan anggota kem Zahid berada di dalamnya. Bermakna penguasaan Zahid dalam Umno masih kuat dan membawa semua itu sebagai ‘competitive edge’ kepada mana-mana pihak yang bercita-cita mencabarnya dalam Umno,” kata Mujibu Abd Muis daripada Ilham Centre.

Persoalan paling penting kata Mujibu ialah siapa yang mampu menyatukan kem-kem berbeza dalam Umno untuk melawan Zahid dan “bolehkan ketua-ketua bahagian ditarik untuk melawan Zahid dengan beliau sebagai TPM dan menteri mampu menawarkan penaungan kepada mereka berbanding menyokong kem yang tak punya apa-apa untuk ditawarkan”.

Kesimpulannya, apa yang beliau katakan ialah jawatan Jemaah Menteri membawa kelebihan. Banyak “advantage” sebenarnya. Wallahualam.

Sumber l FMT / Mohsin Abdullah 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo