Keadaan salji tebal di London. - FOTO EPA |
LONDON: Tiga kanak-kanak lelaki berusia lapan, 10 dan 11 tahun maut, manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal selepas mereka terjerlus ke dalam sebuah tasik berdekatan Birmingham di tengah England, semalam, ketika United Kingdom (UK) dilanda salji lebat.
"Tiga kanak-kanak lelaki terkorban secara tragik selepas terjatuh ke dalam tasik di Taman Babbs Mill di Solihull, tengah hari semalam. Mangsa mengalami serangan jantung dan dikejarkan ke hospital selepas ditarik keluar dari tasik itu. Malangnya, mereka tidak berjaya diselamatkan.
"Kanak-kanak lelaki keempat yang berumur enam tahun pula masih berada dalam keadaan kritikal di hospital," kata Polis West Midlands dalam satu kenyataan, hari ini, sambil mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa.
Sementara itu, beberapa saksi dilaporkan melihat kanak-kanak lain turut berada di atas tasik berkenaan yang permukaannya membeku pada musim sejuk kini.
"Pencarian diteruskan di tasik itu dan pada masa sama, kami giat berusaha mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku dan jika terdapat sesiapa lagi terjatuh ke dalamnya," menurut polis.
Salji lebat membadai UK yang dicengkam 'keadaan beku' sehingga menjejaskan banyak perjalanan, malah sesetengah kawasan mencatat penurunan suhu mencecah negatif 10 darjah Celsius.
Pejabat Meteorologi mengeluarkan amaran kuning bagi salji, kabus serta fros di beberapa kawasan, termasuk tenggara dan barat daya England serta utara Scotland.
Lapangan Terbang London Stansted turut memaklumkan berlaku gangguan atas faktor cuaca ketika ini.
"Landasan ditutup sementara kami melaksanakan kerja membersihkan litupan salji," menurut pihak lapangan terbang itu, semalam. Malah, banyak penerbangan terpaksa dibatalkan, awal pagi tadi.
Landasan terbabit kemudian dibuka semula dan beroperasi sepenuhnya, namun penumpang perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku kelewatan.
Lapangan terbang itu adalah hab utama untuk Ryanair yang turut memberi amaran mengenai gangguan terhadap penerbangannya di Gatwick, selatan London.
"Berikutan cuaca salji lebat yang sedang melanda seluruh UK, landasan di kedua-dua lapangan terbang di Stansted serta Gatwick ditutup sementara, malam ini (semalam), menjejaskan semua penerbangan dijadualkan berlepas dari Stansted/Gatwick sepanjang tempoh itu," menurut syarikat berkenaan.
Berpuluh-puluh penumpang yang terkandas, kongsikan rakaman video melalui media sosial yang menunjukkan landasan dilitupi salji tebal dan kapal terbang tersadai di lapangan.
Selain itu, lebih 50 penerbangan juga dibatalkan di lapangan terbang terbesar di UK, Heathrow, susulan keadaan berkabus dalam cuaca sejuk beku.
Perkhidmatan kereta api dan bas di London juga terjejas teruk selepas salji setebal 10 sentimeter turun semalaman, dengan sebahagian lingkaran jalan M25 di sekeliling ibu kota itu - laluan paling sibuk di negara ini - terpaksa ditutup. Selain itu, sesetengah sekolah turut ditutup. - AFP
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment