NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Tubuh segera RCI siasat RM600b, tangguh dulu agenda ekonomi rakyat' - Ketua Pemuda PN menyindir


KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari meminta kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menangguhkan dulu agenda ekonomi rakyat.

Dalam kenyataan yang kedengaran sinis, beliau menyatakan penubuhan RCI itu tidak boleh dilengahkan lagi dan ia adalah idea paling bagus dikemukakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), setakat ini.

"Saya sangat-sangat setuju, tubuhkan segera (RCI), jangan berlengah lagi, ketepikan dulu agenda ekonomi rakyat. Kita siasat dulu sehingga akar umbi. Inilah idea paling bagus kerajaan PH-BN setakat ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Ahmad Fadhli juga secara sinis menyatakan kerjasama PH-BN tidak mahu bercakap soal rasuah kerana akan 'terkena' rakan sendiri

"Nak bercakap soal rasuah, nanti terkena geng sendiri. Soal pembelaan agama dan bangsa, nanti ada yang tak puas hati," katanya menyarankan agar bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut dipanggil oleh RCI itu nanti.

"Jangan lupa, panggil juga Senator Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan pada masa itu," katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menyokong penubuhan segera RCI bagi tujuan berkenaan yang membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Beliau juga berpendapat laporan polis yang dibuat sebelum ini yang mahu pihak berkuasa menyiasat isu perbelanjaan RM600 bilion itu perlu diteruskan berikutan ia membabitkan satu jumlah yang besar.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Ammar Atan pula menyifatkan RCI itu teramat penting supaya jawapan jelas dan tuntas dapat diberikan kepada rakyat, terutama apabila seluruh sistem demokrasi negara, Parlimen ditutup dan kebanyakan perbelanjaan dibuat secara runding terus tanpa semak imbang sewajarnya.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan lebih awal mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat perkara sama, malah satu laporan polis berkaitan isu berkenaan turut dibuat Ahli Parlimen Hulu Langat itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 30 November lalu.

Kontroversi penggunaan dana kecemasan lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Pengerusi AMANAH Melaka dan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Adly dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasat kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter sebelum ini turut menjelaskan, perbelanjaan langsung kerajaan ketika itu hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan berkenaan diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

Naib Presiden UMNO itu juga menolak dakwaan pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022, sebaliknya menegaskan nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, sebahagian besar tidak babit perbelanjaan kerajaan seperti moratorium pinjaman oleh bank.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo