HULU SELANGOR: Empat mayat mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkemahan Father’s Organic Farm (FoF) ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di dalam sebuah khemah di sektor C (Riverside).
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mangsa merupakan seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Bagaimanapun, menurut beliau, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti meskipun mereka ditemukan di lokasi sama.
“Pada hari ini (semalam), pukul 11.04 pagi pasukan SAR menemukan empat mayat dalam kedalaman tujuh meter dan mayat-mayat ini dipercayai berada dalam satu lokasi iaitu sektor C.
“Semasa tindakan mengeluarkan mayat pihak bomba mendapati kesemuanya berada di dalam satu khemah dan masih dalam keadaan sempurna berpakaian lengkap tetapi mungkin keadaan sudah mula mereput,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media operasi SAR hari ketujuh di tanah runtuh FoF di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pasukan SAR berjaya menemukan tanda awal kedudukan mangsa pada pukul 10.43 pagi melalui hasil korekan tanah menggunakan jengkaut dan dibantu anjing pengesan.
“Pasukan SAR telah jumpa tanda-tanda peringkat awal pada jam 10.43 pagi di mana ia menunjukkan kesan perkemahan.
“Kita kemudian berusaha mencari dan berjaya mendapat empat mangsa dipercayai satu khemah dengan peralatan dan barang peribadi mereka,” katanya.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat tujuh lagi mangsa yang hilang disambung semula pada jam 8 pagi tadi melibatkan 128 pegawai dan anggota pasukan penyelamat selepas dihentikan petang semalam akibat hujan lebat.
Menurut Wan Md. Razali, usaha mencari tiga lagi mangsa yang hilang akan diteruskan hari ini dengan memberi tumpuan di sektor A (Hillview) dan sektor C (Riverside).
Mengulas mengenai operasi SAR hari ketujuh, Wan Md. Razali berkata, seramai 128 pegawai dan anggota penyelamat digerakkan bagi mencari mangsa yang hilang bermula jam 8 pagi.
“Kerja SAR akan berterusan dan kita tumpu anggaran lagi tiga mangsa dan kita telah kenal pasti lokasi di sektor C dan A. Kita tumpu dua lokasi ini,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.
Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 30 lagi disahkan terkorban dan tiga lagi masih hilang. – UTUSAN
No comments
Post a Comment