NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Timbul persoalan pemimpin masa depan PBB


KUCHING:
Sejarah tercipta apabila Fadillah Yusof dilantik sebagai timbalan perdana menteri, menyaksikan beliau menjadi individu pertama dari Malaysia timur memegang jawatan itu namun bagaimanapun, menimbulkan persoalan masa depan Sarawak.

Beliau adalah naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tunjang dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dari segi hierarki parti, kedudukan Fadillah bawah Presiden PBB Abang Johari Openg dan Timbalan Presiden Douglas Uggah Embas dan Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari adalah premier sarawak manakala Uggah and Awang Tengah adalah timbalannya.

“Tetapi dari segi protokol, timbalan perdana menteri persekutuan lebih tinggi daripada premier negeri,” kata seorang pemimpin GPS yang enggan namanya disiarkan.

“Jadi apa yang berlaku apabila Abang Johari memutuskan untuk bersara dan Fadillah berhasrat kembali ke Sarawak? Hierarki parti agak rumit.”

Selain daripada hierarki, pemimpin itu berkata orang yang paling dipercayai Abang Johari iaitu Abdul Karim Rahman Hamzah juga mungkin bertanding merebut jawatan tertinggi parti pada masa depan.

Karim, seorang naib presiden PBB, adalah satu-satunya menteri dalam Kabinet Sarawak selain Abang Johari, Uggah dan Awang Tengah yang memegang lebih daripada satu portfolio.

Sumber itu berkata, situasi itu mungkin belum menjadi masalah kerana belum ada tanda Abang Johari akan berundur namun ada keperluan untuk gambaran lebih jelas berhubung kepimpinan masa depan PBB.

“Bagi Sarawak, apa yang penting ialah kestabilan dan mengambil kira landskap politik negara, apa yang berlaku di sini memberi kesan kepada negara.”

Perubahan dinamik

Sumber itu berkata, persoalan mengenai kepimpinan masa depan PBB juga perlu mengambil kira “dinamik yang berubah” di negeri itu.

Politik di Sarawak, seperti mana-mana tempat lain di seluruh negara telah berubah, kata sumber itu.

“Anda mempunyai pengundi muda, baharu dan jangkaan mereka terhadap pemimpin Sarawak adalah berbeza. Jadi persoalan pemimpin masa depan Sarawak tidak boleh ditangani secara atas ke bawah.

“Saya percaya PBB sedar bahawa pengundi baru menilai parti, pemimpin dan apa yang mereka tawarkan. Ia bukan hanya mengenai logo lagi.”

Jika PBB mahu kekal relevan, ia mesti mendengar kepimpinan yang ingin dilihat oleh generasi muda.

Katanya, PBB dilihat telah bersedia untuk “politik baharu” itu dengan penubuhan sayap belia untuk mereka yang berumur antara 18 dan 25 tahun.

Sayap itu ialah sayap pemuda kedua PBB yang dianggotai lelaki dan wanita, di luar amalan biasa semasa dengan penubuhan sayap berasaskan jantina tetapi mengikuti trend di Eropah, Australia dan New Zealand.

“Ia akan menjadi pelan tindakan untuk masa depan politik Sarawak.”



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo