Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu mempunyai rekod yang baik dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Sudah 22 hari Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan sudah enam hari saya meminta Anwar segera umumkan solusi untuk masalah telur dalam negara. Tapi Anwar masih tong kosong.
“Berpuluh tahun Anwar mendakwa dia ada penyelesaian segera untuk pelbagai masalah. Rupanya itu semua lakonan belaka.
“Masih ingat janji 24 jam untuk turun harga minyak? Dah 22 kali 24 jam, itu pun tong kosong rupanya,” sindirnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat sedang tertekan dan menanti penyelesaian yang sudah bertahun dipropagandakan.
“Punya hebat propaganda, telur pun tak boleh uruskan? Mampukah nak urus negara?
“Telur masih tiada di pasaran atau kalau ada sekalipun, harganya mahal. Rakyat termiskin amat merasai bebanan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau hairan Malaysia selaku negara pengeksport telur menghadapi kekurangan telur untuk rakyat sendiri.
Menurutnya, Malaysia merupakan negara pengeksport telur kelima terbesar dunia berdasarkan data pada 2021.
“Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula umumkan bahawa Malaysia akan mengimport telur untuk stabilkan bekalan. Kita ini negara pengeksport. Mana logiknya nak import pula?
“Kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian, kalau gagal, apa kata minta nasihat daripada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang lebih berjaya menangani segera krisis bekalan dan harga ayam sebelum ini.
“Kalau PH-BN dah tak ada idea, kami PN ada ‘track record’ yang ‘solid’ menjaga rakyat,” katanya.
Sumber | ismaweb
No comments
Post a Comment