Georgetown: Bekalan telur ayam di negeri ini belum pulih sepenuhnya menyebabkan peniaga makanan mengeluh kerana harganya bukan sahaja mahal malah mudah rosak jika tidak dihabiskan dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Seorang peniaga, Abdul Majeed Seeni Muhammad, 49, berkata dia memerlukan enam hingga tujuh papan telur gred B setiap hari yang dibeli pada harga RM15.60 hingga RM16 sepapan untuk menu seperti roti telur goyang dan mi goreng.
"Dalam sepapan pula biasanya ada beberapa biji telur yang rosak kadang-kadang sehingga lima biji. Memang dulu ada masalah ini juga tetapi tidak begitu terasa kerana harganya tidak semahal sekarang.
"Saya memang hanya guna telur gred B untuk jaga kualiti makanan sebelum ada masalah bekalan, harganya sekitar RM12 kalau beli banyak," katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak bersebelahan Pasar Chowrasta.
Abdul Majeed berpandangan kualiti telur ayam sekarang bagus yang boleh bertahan melebihi seminggu dan untuk mengurangkan risiko telur rosak dia membeli telur mengikut keperluan harian.
Seorang lagi peniaga kuih dan nasi lemak di Pasar Awam Bayan Baru, Karsinah Ranopaviro, 55, berkata dia menggunakan telur kulit putih yang dibeli pada harga RM14 sepapan berbanding RM12.50 sebelum ini dan akan menghabiskannya dalam tempoh tiga hari bagi mengurangkan risiko kerugian jika telur rosak.
"Pagi ini saya buang tiga biji telur busuk dan terpaksa menaikkan harga sandwic telur daripada RM2 kepada RM2.50 sejak dua bulan lalu kerana bukan sahaja telur ayam mahal tetapi harga bekasnya juga naik daripada RM18 kepada RM21.80 bagi setiap 100 bekas.
"Kuih bengkang biasa saya ambil daripada orang RM48 satu loyang sekarang sudah RM50 kerana ia juga guna telur. Harga tepung gandum sudah mencecah RM4 sekarang selain harga nasi lemak juga dinaikkan daripada RM1.20 kepada RM1.30," katanya.
Selain itu, Karsinah turut tidak mendapat bekalan kuih akok yang dihantar ejen dari Tumpat, Kelantan menggunakan bas ekspres sejak tiga minggu lalu berikutan masalah telur serta mengakui kuih itu laris dan mempunyai peminat tersendiri di negeri ini.
Seorang peniaga telur di Pasar Chowrasta yang ingin dikenali sebagai Tan, 41, berkata telur gred A, B, C habis dijual seawal jam 10 pagi dan hanya telur omega masih banyak berbaki dan dijual pada harga 65 sen sebiji.
Seorang lagi peniaga telur, Tan Lian How, 46, berkata bekalan telur di gerainya masih berkurang sehingga 50 peratus dengan telur dijual mengikut harga kawalan iaitu 43 sen bagi gred A, 41 sen (gred B) serta 39 sen (gred C) manakala telur ayam kampung dijual 70 sen sebiji.
"Pada peringkat kami sebagai peniaga, tiada catuan dibuat kalau pelanggan hendak beli banyak tiada masalah dan kami juga dengar bekalan telur akan kembali pulih tidak lama lagi," katanya.
Sumber I Harian Metro
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment