NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tekanan kepada peniaga dapat menurunkan harga barang - Rafizi



Putrajaya: Pengguna perlu berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenang menaikkan harga barangan.

Beliau berkata, ketika ini, biarpun harga barangan terus menerus meningkat, pengguna dilihat masih bersedia membayar pada harga yang ditawarkan pembekal.

Katanya, satu kategori perbelanjaan yang paling mempengaruhi inflasi adalah harga barang-barang makanan dan minuman bukan alkohol iaitu kumpulan perbelanjaan yang paling besar bagi isi rumah. 

"Walaupun harga barang makanan dan minuman bukan alkohol terus naik, orang ramai terus membeli dan membayar pada harga yang lebih tinggi yang dikenakan oleh peniaga. 

"Ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol yang terus naik dan dirasakan tidak turun.

"Sewajarnya jika harga ayam itu sudah terlalu mahal kita tidak membelinya," katanya pada sidang media Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) November 2022, di sini, petang ini.

Rafizi berkata, perbelanjaan makanan dan minum bukan alkohol pula dipecahkan kepada makanan di rumah dan makanan di luar rumah.

Beliau berkata, beberapa hipotesis awal yang disimpulkan termasuk ketidakanjalan saling kait antara permintaan dan bekalan bagi barang-barang makanan dan minuman bukan alkohol.

Katanya, secara umum, jika harga sesuatu barang menjadi mahal, pengguna akan kurang membeli dan itu akan memberi kesan akhirnya kepada harga yang dikenakan pembekal.

"Perkara itu tidak begitu berlaku dengan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol dalam kalangan penduduk Malaysia, termasuk dari segi tabiat membeli makanan di luar rumah (dari restoran, gerai dan lain-lain)," katanya.

Sememangnya, Rafizi berkata, usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, dari kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat.

Menurutnya, kementerian-kementerian kini giat membangunkan langkah segera untuk membaiki rantaian nilai di sebelah pembekal untuk memastikan harga tidak naik dengan bekalan yang mencukupi.

Pada masa sama, beliau berpendapat wajar gerakkan kesedaran rakyat supaya lebih tangkas bertindak balas kepada kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol untuk memastikan hubung kait permintaan dan bekalan lebih anjal.

"Melalui kesedaran ini apabila pengguna merasakan harga dikenakan oleh peniaga dirasakan terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga lain, sewajarnya mereka menjauhinya supaya faktor permintaan yang berkurang akan menekan peniaga untuk menurunkan harga.

"Peniaga juga tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang seandainya mereka tahu pengguna tidak akan membelinya. 

"Sementara kementerian-kementerian terbabit mengusahakan langkah jangka sederhana dan jangka panjang di sebelah bekalan (supply side), saya juga memilih untuk memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi. 

"Kementerian Ekonomi akan memberi tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawab harga berpatutan (fair price accountability) dengan membangunkan ekosistem berasaskan data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan. 

"Saya berharap ekosistem ini (yang diharap akan dibangunkan dan digerakkan oleh pengguna sendiri untuk dilancarkan dalam masa sebulan) akan membantu menambah keanjalan di sebelah permintaan, sebagai satu usaha mengawal inflasi di masa akan datang," katanya.

Rafizi berkata, apa yang sepatutnya berlaku ialah pasaran dikawal oleh permintaan dan bukan penawaran namun mengakui bahawa tabiat membeli adalah kompleks.

Justeru, katanya, beliau berharap negara mampu menyediakan ekosistem tabiat pembelian banyak dipengaruhi oleh penawaran harga yang berpatutan, dengan menggunakan data sedia ada yang disediakan Jabatan Perangkaan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).


Sumber I Harian Metro 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo