NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sosma: Perlunya reformasi institusi


SAYA merujuk kepada laporan akhbar yang merujuk kepada pendirian Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bahawa beliau tidak bercadang untuk mengkaji semula  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). 

Beliau berpandangan bahawa tidak seperti ISA, Sosma ada ruang untuk proses mahkamah selepas tamat tempoh penahanan maksima 28 hari sebagaimana yang telah ditetapkan. 

Benar, kalau dari segi dasarnya, Sosma kalau dibandingkan dengan ISA sudah tentu ia satu akta yang lebih progresif, tetapi dari segi asasnya ia merupakan satu rang undang-undang yang sangat berat sebelah. 

Sosma memberikan banyak kuasa yang diberikan kepada pihak penguasa tanpa sebarang semak dan imbang, sebagai contoh penahanan selama 28 hari tanpa perlu melalui proses mahkamah (dalam tempoh penahanan) kalau jatuh kepada individu biasa, itu merupakan satu hukuman yang amat berat tanpa sebarang perbicaraan atau pertuduhan. 

Sosma juga membenarkan pihak penguatkuasa memintas komunikasi secara terus tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang yang jelas. Saya berpendapat kuasa yang menyeluruh seperti ini membolehkan ia terdedah kepada penyalahgunaan. 

Kita juga telah melihat contoh-contoh lepas, bagaimana ahli Parlimen PKR sendiri yang ditahan bawah Sosma kerana terlibat dalam penganjuran Bersih. 

Kita boleh rangka satu undang-undang yang jauh lebih baik bagi menangani isu keselamatan, yang memberi kuasa untuk melaksanakan tindakan yang cepat namun mempunyai proses semak dan imbang yang jelas. 

Banyak negara demokrasi yang lain, yang berdepan dengan ancaman keganasan yang aktif mempunyai rang undang-undang khusus bagi menangani ancaman ini. 

Namun mereka tetap meletakkan mekanisme semak imbang untuk memastikan hak individu warganegara terjamin.

Laungan reformasi itu berasaskan dari semangat mahu mengubah institusi dan sistem kenegaraan yang lebih baik, saya kira wajar kerajaan hari ini berpandukan kepada hasrat murni ini. 

Sekiranya kita kembali kepada sistem dan takuk yang lama, kelak apa bezanya dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini. – 15 Disember, 2022. 

Zaidel Baharudin,
naib presiden Muda.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo