Ketua Penerangan Bersatu Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sumpah 'wallahi wabillahi watallahi ‘No Anwar, No DAP’ yang dilaungkan oleh UMNO ditukar menjadi 'Love Anwar, Love DAP.'
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan sempena tahun baharu 2023 mengimbas beberapa isu politik sepanjang 2022 yang menyaksikan kebenaran terserlah dan kepalsuan lakonan terdedah.
Menurutnya ini termasuk sumpah ‘wallahi wabillahi watallahi ‘No Anwar, No DAP’ yang dilaungkan oleh UMNO ditukar menjadi ‘Love Anwar, Love DAP.’
“Buku-buku sejarah politik bakal merekodkan bahawa pada tahun 2022 UMNO menjulang parti berideologi kiri DAP dan mensucikan falsafah Malaysian Malaysia. Rakyat bertanya adakah UMNO masih relevan?
“Tahun 2022 merekodkan betapa agenda Reformasi hanya lakonan murah mereka yang kini leka bersekedudukan dengan kleptokrat dan perasuah. Benarlah bahawa kuasa dan jawatan boleh membuat manusia menjual maruah.
“Rakyat telah sedar lakonan Reformasi dipelopori PKR sudah masuk tong sampah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (31 Disember 2022).
Malah Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata tahun 2022 juga merekodkan betapa masih ada sekelompok pejuang yang masih tegar dengan idealisme perjuangan di mana Perikatan Nasional tetap bertegas tidak berkompromi dengan maksiat dan kerosakan.
Wan Saiful menjelaskan dengan 74 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional kekal berprinsip, bersih, berintegriti, berkaliber, dan berwibawa serta memilih untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat.
Katanya, ramai pakar menjangka ekonomi Malaysia dan dunia akan mencabar pada tahun 2023 dan memburukkan lagi keadaan, perang Russia-Ukraine dijangka bakal mengheret Belarus serta Poland.
“Kesan kepada ekonomi Malaysia pasti ada dan rakyat pasti terkesan. Kerajaan PH-BN yang tidak kompeten ini masih belum ada idea apa yang harus dilakukan.
“Tahun 2023 juga akan menyaksikan apa akan jadi kepada kedaulatan undang-undang di Malaysia,” katanya.
Menurut Wan Saiful lagi rakyat akan menilai apa yang bakal berlaku kepada kes-kes mahkamah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan sekutu kluster mahkamahnya.
Katanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH kini menyayangi “kluster mahkamah” dan sedang mensucikan UMNO kerana mahu duduk serumah, namun Wan Saiful mengingatkan bahawa rakyat akan menilai adakah kedaulatan undang-undang negara akan dirosakkan oleh PH demi untuk membela kekasih baharu mereka, UMNO.
“Rakyat juga akan menilai tindakan Speaker Dewan Rakyat berkaitan empat orang Ahli Parlimen Sabah yang jelas telah melompat parti. Adakah PH-BN akan mempertahankan konsep kedaulatan undang-undang, atau adakah kerajaan PH-BN ini akan melenturkan undang-undang untuk menjaga kepentingan diri. Keputusan Speaker nanti adalah petanda awalnya,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Wan Saiful berkata Bersatu perlu segera membuktikan kemampuan menghasilkan cadangan dasar-dasar alternatif yang berkualiti untuk mengurangkan bebanan rakyat, disamping cekap mengenal pasti kelemahan kerajaan yang perlu diperbaiki.
“Jika di Britain, pembangkang dipanggil “His Majesty’s Most Loyal Opposition”. Maksudnya, dalam konteks Malaysia, menjadi tanggungjawab pembangkang untuk tidak bersetuju dengan kerajaan dan mencari idea-idea alternatif, dalam rangka memenuhi amanah yang diberikan oleh negara.
“Pembinaan kekuatan dalaman parti pula mesti menjadi keutamaan Bersatu. Proses latihan, perkaderan, pembentukan cawangan baru, pengukuhan cawangan dan bahagian, semuanya perlu diberi perhatian dan diusahakan.
“Baik pemimpin cawangan, bahagian, negeri mahupun Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, semuanya mesti memainkan peranan untuk memperkukuh parti. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi mesti turun padang membantu Bahagian-Bahagian, terutama dalam menghadapi Pilihanraya Negeri tak lama lagi,” katanya.
Katanya Bersatu juga perlu menyedari bahawa kemenangan banyak kerusi adalah hasil sokongan generasi baharu politik atau anak muda, dengan pendaftaran automatik pengundi turut melibatkan pelbagai lapisan usia.
“Generasi baharu menolak rasuah, menolak politik wang, dan menolak politik menipu demi kuasa. Sebaliknya Generasi Baharu mahukan budaya politik baru, budaya yang bersih dan budaya prihatin kepada nasib rakyat. Generasi Baharu mahukan peluang dan platform untuk mereka turut mendekati dan membantu rakyat.
“Bersatu mesti menyahut keinginan Generasi Baharu ini dan menerima mereka dengan tangan terbuka. Beri ruang kepada Generasi Baharu untuk memainkan peranan dalam parti. Lantik mereka ke jawatan-jawatan yang sesuai dalam parti dan bantu mereka untuk naik, supaya mereka boleh berperanan membasmi budaya tak sihat sekiranya ada, dan membawa budaya yang lebih segar dalam parti.
“Bersatu ada amanah penting yang wajib ditunaikan. Kita mesti menjadi alternatif sebenar untuk negara. Dan kita mesti berani membuat pilihan yang betul walaupun sukar, demi kebaikan jangka panjang untuk parti. Yang mana perlu dibersihkan, bersihkanlah. Yang mana perlu diperkukuh, perkukuhkanlah,” ujarnya.
No comments
Post a Comment