NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya tak ‘layak’ jumpa Najib, kata bekas pegawai bank

Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu berkata beliau tidak fikir perdana menteri akan mempunyai masa bertemu dengannya
KUALA LUMPUR: Bekas pegawai AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak, beliau tidak layak berurusan dengan bekas perdana menteri berhubung operasi akaun pemimpin itu kerana “protokol” dan atas “persepsi” sendiri.

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu menambah bekas pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang yang “layak” bertemu Najib, perdana menteri ketika itu.

Ketika ditanya peguam Shafee Abdullah siapa yang beritahu “cerita menakutkan” ini, Yu menjawab ia adalah pandangan peribadinya.

“Saya tidak fikir perdana menteri akan mempunyai masa untuk bertemu saya,” katanya.

Yu juga memberitahu mahkamah, Jho Low mengarahkan beliau tidak menghantar penyata kad kredit Najib ke rumah bekas perdana menteri itu di Langgak Duta.

“Dia memberitahu bank bahawa kami perlu menyerahkan sendiri kepada Nik (Faisal Ariff Kamil),” katanya, yang merujuk kepada pegawai pelaburan 1MDB ketika itu yang diberi mandat menguruskan akaun Najib.

Shafee: Adakah kamu tahu kelayakan Nik Faizal?

Yu: Saya tidak tahu, tetapi dia (bekerja) dengan SRC International dan 1MDB.

Shafee kemudian memberitahu Nik Faizal memiliki latar belakang perakaunan dan Najib serta bapa Nik Faisal saling mengenali.

Yu memberitahu, beliau kemudian mendapat tahu bahawa bapa Nik Faizal, Nik Ahmad Kamil Nik Mahmood adalah bekas speaker Dewan Rakyat.

Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Lawrence Sequerah bersambung pada 27, 30 dan 31 Jan tahun depan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo