Rahsia kejayaan Maghribi mara ke suku akhir Piala Dunia 2022 terletak kepada ‘restu ibu’ yang datang ke stadium, memberi ciuman dan sokongan dalam semua perlawanan anak-anak mereka.
Ketika Singa Atlas mengejutkan pasukan No. 2 dunia, Belgium 2-0 dalam aksi Kumpulan F, pertahanan Paris Saint-Germain, Achraf Hakimi mendapatkan ibunya di kerusi penonton sejurus tamat perlawanan.
Video pelukan dan cubitan pipi antara mereka kemudian tular di media sosial, ditambah pula pemain berusia 24 tahun itu menyiarkan gambar dia mencium dahi ibunya di Instagram dengan kapsyen ‘Saya sayang kamu, ibu’.
Hakimi bukan satu-satunya pemain yang mendapat sokongan ibu bapa, malah keluarga seluruh pasukan, termasuk jurulatih, Walid Regragui diterbangkan ke Qatar.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi, Fouzi Lekjaa menaja keluarga pemain menonton aksi mereka sepanjang Piala Dunia 2022.
Disebabkan itu, pangkalan skuad Maghribi, Hotel Wyndham Doha West Bay kadangkala terlihat seperti perkhemahan musim panas yang dikendalikan ibu bapa pemain.
Ibu Regragui sendiri, Fatima, melakukan perjalanan sekali seumur hidup di Qatar.
“Sepanjang kerjaya Walid sebagai pemain dan jurulatih, saya tidak pernah mengembara untuk melihat dia bekerja.
“Saya tinggal di Perancis lebih 50 tahun dan inilah kejohanan pertama yang meyakinkan saya untuk meninggalkan Paris,” kata Fatima.
WALID Regragui dijulang pemainnya selepas membawa Maghribi mara ke suku akhir Piala Dunia 2022, menyingkirkan Sepanyol semalam. – AFP
Berbeza dengan ibu pemain tengah, Abdelhamid Sabiri yang gemar mengambil gambar.
Dia menghabiskan beberapa hari di hotel bukan sahaja untuk merakam gambar anaknya, malah bintang seperti Hakim Ziyech, Yassine Bono dan sudah tentu, jurulatih, Regragui.
Semalam, Maghribi memahat sejarah Piala Dunia apabila menyingkirkan juara 2010, Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti untuk bertemu Portugal di suku akhir. – AGENSI
No comments
Post a Comment