KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Ericsson dan Digital Nasional Bhd (DNB) baru-baru ini mencapai rekod jarak dunia untuk kelajuan gigabit melalui rangkaian 5G Malaysia, sekali gus membuka laluan untuk kesalinghubungan yang berkualiti tinggi, mampu milik dan berkelajuan tinggi.
Dalam satu kenyataan, Ericsson berkata ujian itu yang dijalankan pada frekuensi 28 gigahertz (GHz) milimeter gelombang (mmWave), mencapai daya pemprosesan puncak satu gigabit sesaat (Gbps) pada jarak rekod 11.18 kilometer dari antena radio dalam Butterworth, Pulau Pinang ke satu titik di luar pulau.
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh David Hagerbro berkata dengan memanfaatkan teknologi akses wayarles tetap (FWA) 5G dalam pencapaian ini, syarikat itu menunjukkan keupayaannya untuk menyediakan contoh yang kukuh bagi rangkaian 5G bertaraf dunia di Malaysia.
“Pencapaian ini akan membolehkan Ericsson bekerjasama dengan DNB bagi menyediakan kesalinghubungan dengan pantas untuk sekolah, hospital, perniagaan kecil dan sederhana serta kawasan yang boleh mendapat manfaat daripada kesalinghubungan secara cekap dari segi kos, (serta) ke lokasi yang kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.
Syarikat rangkaian dan telekomunikasi multinasional Sweden itu berkata rekod jarak baharu itu adalah bukti keupayaan mmWave dengan sokongan perisian jarak jauhnya dalam menyediakan penyelesaian sambungan internet berkualiti tinggi yang menjimatkan kos dan berkualiti tinggi melalui FWA di kawasan yang mempunyai sambungan berwayar yang tidak selalu dapat dilaksanakan dari segi ekonomi.
Ia berkata ini membuka jalan kepada pengendali rangkaian mudah alih tempatan untuk menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik dan lebih luas untuk menjangkau lebih ramai pengguna dan perusahaan kerana ia akan membolehkan penyampaian sambungan jalur lebar wayarles yang menjimatkan kos, berkualiti tinggi, menggunakan penyelesaian FWA dalam kawasan liputan 5G sedia ada.
“Di wilayah yang mempunyai pasaran jalur lebar yang tidak mendapat perkhidmatan atau kurang mendapat perkhidmatan, FWA mempunyai potensi yang besar untuk menutup jurang digital di lokasi luar bandar, melengkapkan transformasi digital di Malaysia yang sudah mula mendapat manfaat daripada jangkauan, kelajuan pelancaran dan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan (melalui ) rangkaian 5G,” katanya.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment